Amalan Pemakanan Sunnah Yang Jarang Masyarakat Amalkan
Gaya Pemakanan Sihat Yang Jarang Rakyat Amalkan|
Sedikit masa lalu pernah diviralkan di alam maya berkenaan gabungan atau padanan makanan yang tidak ideal untuk tubuh sehingga mengakibatkan kematian. Kepercayaan ini bertebaran dari satu penerima ke penerima yang lain sehingga di suatu tahap timbul ketakutan dan persoalan untuk menggabungkan makanan tertentu seperti mana dihebohkan.
Hakikatnya, sehingga kini tiada satu kenyataan pun yang mengesahkan viral tersebut.
Begitu pun, kita mempunyai pilihan sama ada untuk mempercayai bulat-bulat atau mengambil pengajaran dari sudut positif atas apa yang diperkatakan.
Setiap yang berlaku pasti ada sebab dan akibatnya. Tidak salah sekiranya kita mengambil panduan mengenai apa yang disampaikan sekiranya ia mendatangkan kebaikan dan tidak memberi mudarat kepada kita.
Piramid makanan dan konsep pemakanan sihat
Tahukah anda mengenai piramid makanan? Piramid makanan dicipta dengan mengelaskan makanan mengikut kandungan zat-zat utama dan fungsinya. Ia terdiri daripada susunan karbohidrat, yang membekalkan tenaga kepada tubuh; protein untuk membina sel-sel dalam tubuh, pembentukan sel darah merah serta tulang dan gigi; vitamin untuk menjauhkan penyakit; mineral dan serat untuk melawaskan serta mencegah penyakit berkaitan usus, sembelit dan buasir.
Makanan-makanan ini dikelompokkan bagi membantu kita mengimbangi pengambilan pelbagai jenis makanan dalam sajian atau diet kita.
Kita haruslah memakan semua jenis makanan dalam piramid yang diperlukan tubuh badan kerana tidak ada satu pun makanan yang mampu membekalkan kesemua zat makanan tersebut dalam satu menu. Pilihlah gabungan makanan yang disenaraikan seperti dalam piramid untuk membantu tubuh mencerap keperluan zat.
Trend pemakanan ke arah obesiti
Pakar Pemakanan Hospital Beacon, Gurdip Kaur berkata, gaya hidup, trend pemakanan, sikap dan pengaruh persekitaran sekarang mendorong gejala berat badan atau obesiti yang semakin ketara. Obesiti memberi kesan negatif kepada kesihatan tubuh. Ia dikaitkan dengan pakej penyakit kronik iaitu darah tinggi, kencing manis, sakit buah pinggang dan jantung selain menjejaskan sistem reproduksi.
Jika diperhatikan, kini jumlah penduduk yang mengalami obesiti semakin meningkat. Jika gejala ini tidak dibendung, struktur masyarakat akan semakin lemah kerana sebahagian besar komponen muda mengalami obesiti, sekali gus tidak aktif kerana berpenyakit. Ikuti pendapat pakar pemakanan ini dalam artikel seterusnya berkaitan pemakanan sihat mengelakkan obesiti dan amalan kurus cara cepat.
Aspek pemakanan Islam
Dalam aspek pemakanan Islam, umum tahu bahawa diet Rasulullah SAW boleh dijadikan panduan kerana Baginda adalah contoh terbaik yang mementingkan khasiat dan mutu makanan agar mendapat manfaat daripadanya.
Tiada nas dan dalil yang membuktikan apakah gabungan pemakanan yang dikatakan sebagai amalan pemakanan Rasulullah itu hakikat atau tidak. Namun, mementingkan kesihatan dan mengelakkan kemudaratan itu adalah sunnah untuk diikuti dan kita dituntut meneladani perkara yang baik bagi kesihatan.
Makan dalam keadaan duduk dan menggunakan tangan kanan adalah amalan agama Islam dan sesungguhnya Islam itu mencakupi semua aspek kehidupan. Islam menjelaskan kaitan makanan dengan perkembangan tubuh dan bagaimana ia mempengaruhi spiritual serta emosi manusia.
Juga dipaparkan dalam isu minggu ini adalah amalan pemakanan sihat dalam agama yang mudah-mudahan dapat membantu kita dalam pemakanan seimbang. Memastikan aspek kebersihan, status halal dan tanpa was-was semestinya suatu keutamaan.
Tag kata kunci: Kaki Share, Tips, Petua, Sunnah
Post a Comment