Header Ads

Petani Terkejut Dengar Tangisan Bayi Luar Rumah



Seorang petani terkejut apabila terdengar tangisan bayi dalam keheningan pagi di luar rumahnya di Kampung Siantan Baru, di sini hari ini. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi, petani berusia 51 tahun itu bergegas membuka pintu rumahnya dan mendapati seorang bayi perem­puan cukup sifat tanpa seurat benang di atas kerusi.


Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Senior Asisten Komisioner S. Dev Kumar, petani tersebut kemudian menyelimutkan bayi berkenaan dengan sehelai kain lalu memaklumkan kepada polis.

Katanya, bayi berkenaan dihantar ke Hospital Serian dengan ambulans untuk menerima pemeriksaan.
“Pasukan siasatan JSJ yang tiba ke lokasi menemukan kesan darah dan satu gunting dipercayai digunakan bagi memotong tali pusat tidak jauh dari rumah petani itu.

“Menjejaki kesan darah, pasukan polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Serian diketuai oleh Inspektor Mohd. Fais Zubir dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) menahan seorang wanita berusia 26 tahun tidak jauh dari lokasi penemuan bayi.

“Wanita ini dipercayai ibu kepada bayi ditemukan di dapur sebuah rumah dalam keadaan lemah malah kita menemukan kesan darah di salah sebuah bilik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Mengulas lanjut, Dev Kumar berkata, suspek dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi mendapatkan rawatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi,” jelas beliau.



No comments

Note: only a member of this blog may post a comment.

Powered by Blogger.