Header Ads

GAMBAR Ular Tedung Dipercayai Patuk Kanak Kanak Setahun 9 Bulan



Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun sembilan bulan dipercayai tidak sedarkan diri selepas dipatuk seekor ular tedung semasa sedang bermain di rumahnya di Kampung Wak Salam, Mersing semalam.

Insiden yang menimpa mangsa, Muhammad Iskandar Syukri (gambar) disedari ibunya, Nur Jannah Abdullah, 17, selepas dia terdengar anaknya menangis sebelum tidak sedarkan diri kira-kira pukul 9 malam.



Menurut Nur Jannah, semasa kejadian, dia sedang mengemas rumah dan anaknya pula seperti biasa sedang bermain di ruang tamu.

“Tiba-tiba saya terdengar dia menangis dengan kuat lalu saya terus melihat apa yang berlaku dan mendapati kaki anak saya lebam seperti kesan gigitan lalu saya mendapatkan ubat untuk disapu di kakinya.

“Semasa sedang merawat kaki anak, tiba-tiba saya ternampak seekor ular tedung lalu saya memanggil suami yang ketika itu baru pulang ke rumah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, suaminya yang berusia 19 tahun kemudiannya cuba menangkap ular berkenaan dengan bantuan beberapa jiran dan memukul reptilia tersebut hingga mati.

Dia berkata, mereka kemudian membawa Muhammad Iskandar yang tidak sedarkan diri ke Hospital Mersing untuk mendapatkan rawatan sebelum dia dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, semasa dirawat Hospital Mersing keadaan mangsa tenat dan tidak sedarkan diri.

“Keadaan pesakit tenat sebelum dirujuk ke HSI di Johor Bahru. Pada pukul 1.15 pagi pesakit tiba di HSI dengan bantuan pernafasan. Pesakit juga memerlukan ubat sokongan untuk meninggikan tekanan darah,” katanya.

Jelasnya, terdapat kesan gigitan pada jari pertama di kaki kiri kanak-kanak tersebut dan hingga kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.


No comments

Note: only a member of this blog may post a comment.

Powered by Blogger.