Header Ads

Hai anak... yang penting wajah awak buat mama sangat-sangat rindukan papa



Hidup berkeluarga dengan cara Perkahwinan Jarak Jauh (PJJ) memang sedih dan susah. Tetapi adakalanya, ada manisnya. Ramai rakan-rakan yang hidup PJJ. Hidup mereka pasti lebih sakit, lebih susah, lebih menderita kerana ada yang makan bertahun lamanya. 

Ya, hanya yang pernah hidup PJJ faham bagaimana rasanya. Tetapi, aku hanya mampu katakan, sabar, tabah dan bersyukurlah kerana aku juga ada kisah PJJ aku sendiri. 

Selepas berumahtangga, aku sangat bersemangat mengikut suami pergi ke Pulau Labuan. Teruja nak membina kehidupan berkeluarga di sana. Tetapi, memang jauh dari keluarga. Hanya kami. Ya, hanya kami. 

Selepas beberapa tahun, suami pula dipindahkan ke Pulau Pinang. Bermulalah hidup 'PJJ' di saat itu. Aku berusaha untuk mengikut suami bersama tetapi tidak boleh kerana tugas. Maka, tinggallah aku di pulau itu bersama si kecil Azka. 

Kami benar-benar berusaha mencari duit tambahan semata-mata untuk membeli tiket penerbangan. Kalau boleh, tiap-tiap minggu aku nak suami balik ke Labuan walaupun cuti Sabtu dan Ahad. Sanggup berhabis duit semata-mata untuk membeli tiket. Hahaha! Teruk, teruk. Alhamdulillah, ujian tak lama, tak sampai setahun dapat ikut suami berpindah ke Pulau Pinang. 
Bermulalah hidup di tempat baru, azam baru, semangat baru dan penuh dengan cita-cita serta impian. Kami sentiasa bersama untuk apa sahaja. Aku sangat takut untuk ditinggalkan lagi. Suami juga tidak sanggup nak meninggalkan kami lagi.

Tetapi siapa sangka, sedang gembira dengan ahli baru si kecil Azra yang baru berusia 12 hari, suami pula pergi untuk selama-lamanya. 
Baru aku sedar, hidup PJJ kali pertama selama tujuh bulan itu yang aku sering rungutkan, rupa-rupanya bukanlah apa-apa. Hanyalah latihan untuk aku menjalani PJJ kali kedua yang lebih mencabar dan yang pastinya tidak akan berpenghujung sehingga akhir hayat. 

Hargailah pasangan anda, cubalah untuk sentiasa bersama selagi mampu. Andai hidup berjauhan, sentiasalah menghubunginya kerana masa akan terus berlalu. Maut pula semakin menghampiri dan tiba masanya untuk berPJJ antara dua alam pula. 

Rindu awak, sayangku Luxrize Hakivo 


No comments

Note: only a member of this blog may post a comment.

Powered by Blogger.