Header Ads

“Aku Tak Hisap Depan Anak Bini Aku”




Ke mana-mana aku pergi; taman, sekolah, hospital, tempat kerja, tempat makan, padang rekreasi, penuh pandangan dengan pasangan-pasangan bersama anak-anak mereka. Di tangan ibu, seorang anak, di tangan bapa? sepuntung rokok. Seolah-olah sudah menjadi satu set tipikal. Yang ibu ada yang berkerut mukanya, ada yang selamba, yang bapa, ada yang bersahaja, ada yang selesa.

Hembuslah kau ke kiri walau anak kau di kanan, tetap dihirup juga oleh mereka tidak berkurangan. Sudahlah kau tak kisah akan kesihatan kau pabila kau sakit nanti, meninggalkan anak dan isteri, sekarang kau mahu pula anak kau dipasang IV, nak pula anak yang dalam kandungan keluar tak cukup ciri, nak pula mereka merana di kemudian hari.

Stres? sejuk? Susah nak berhenti? maknanya sampai di situ sahaja sayang kau kepada anak isteri. Comel-comel muka riang mereka bermain di sekeliling kau, selamba sahaja kau hembus-hembus tanpa risau. molek-molek mereka tidur di belakang, mudah sungguh kau hisap di depan bersenang-lenang.

“aku tak hisap depan anak bini aku”

Jadi itu boleh kau rasa? tiada asap lekat di baju kau kata? Jangan dah terhantuk baru terngadah, menyesal menangis tak sudah. Kau nak jawab soalan anak kau kenapa mak kena barah? kau nak jawab soalan isteri kau mengapa anak parah? Ahh tapi apa kau kisah, sekarang kau suami kaulah yang mengarah.

RM17. itulah harga keluarga kau. itulah harga kesihatan kau. itulah harga penyesalan kau. Gambar di kotak sekadar hiasan, kata dan nasihat kau pekakkan. Kalau kau berhajat mahu mendirikan rumah tangga, jangan kau bermimpi tanpa berhenti menghembus asap durjana. Kumpul hantaran beribu, berhenti merokok pun tidak mampu. kau terlepas apa yang penting, sebab untuk kau, ketagihan perlu dilayan sering.


No comments

Note: only a member of this blog may post a comment.

Powered by Blogger.