9 Rakyat Malaysia Selamat Tiba Di Malaysia
Sembilan rakyat Malaysia yang sebelum ini dihalang daripada meninggalkan Korea Utara susulan perbalahan diplomatik antara Kuala Lumpur dan Pyongyang selamat tiba di tanah air, awal pagi Jumaat.
Kesemua petugas kedutaan Malaysia di Pyongyang dan ahli keluarga masing-masing, yang menaiki pesawat khas, tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5.03 pagi dan disambut ahli keluarga masing-masing.
Mereka ialah Setiausaha Duta, Noor Saaidah Jamaluddin, 29, suaminya Mohd Radzuan Othman, 29, serta bayi mereka Mohamad Radhiy berusia lapan bulan, Pegawai Tadbir, S. Nirmala Malar, 45, Kaunselor, Mohd Nor Azrin Md Zain, 37, isterinya, Iza Karmila Ramli, 35, serta tiga anak iaitu Annur Zulaikha, 6, Aynur Zhafirah, 5, dan Ayscha Zinnirah, 3.
Ketibaan mereka disambut oleh Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan sembilan rakyat Malaysia yang dihalang daripada meninggalkan Korea Utara dibenarkan pulang ke tanah air.
Najib dalam catatan twitter miliknya berkata "Alhamdulillah Pesawat Khas membawa pulang 9 rakyat Malaysia telah keluar ruang udara Korea Utara. Krisis diplomatik sudah berakhir."
Susulan perkembangan itu, Najib berkata, Malaysia kini membenarkan rakyat Korea Utara meninggalkan negara ini.
Post a Comment