Mira Filzah,Imam Muda Hizbur Pilhan Adi Putra
Sebagai selebriti terkenal, aktor kacak, Adi Putra semestinya tidak mempunyai masalah untuk menggunakan popularitinya demi melariskan perniagaannya.
Pun begitu, Adi atau nama sebenarnya, Mohamed Hadi Putera Halim yang juga merupakan pemilik agensi mengelola umrah, Hadid Travel & Tours enggan untuk mengaplikasikan kaedah tersebut.
Bahkan, pelakon berusia 35 tahun itu lebih selesa menggunakan cara yang sama seperti agensi umrah lain iaitu melantik duta daripada kalangan selebriti.
Tidak cukup satu, sebaliknya Adi melantik dua selebriti yang masih muda iaitu pendatang baharu, Mira Filzah dan Imam Muda Hizbur Rahman Omar Zuhdi menjadi duta syarikatnya itu.
Bercerita lanjut, kata bintang filem Suami Aku Ustaz ini, pelantikan itu adalah untuk menarik minat generasi muda dalam mengerjakan ibadah umrah.
Menariknya lagi, pelantikan dua duta ini kekal sepanjang hayat agar kelangsungan ibadah itu dapat terus dikekalkan seterusnya menjadi contoh kepada yang lain.
“Sasaran utama saya adalah untuk mendekati generasi muda, jadi saya merasakan pelantikan dua personaliti ini dilihat amat bersesuaian.Mira Filzah memberi contoh sebagai selebriti Muslimah yang memiliki penampilan yang baik manakala Hizbur Rahman pula dilihat sebagai ustaz muda yang boleh berkongsi ilmu dengan jemaah nanti.
Malah, pelantikan mereka juga tidak termaktub pada tarikh tertentu kerana bagi saya ibadah mesti diteruskan sampai bila-bila,” katanya ketika ditemui pada pelancaran program Umrah Bersama Selebriti, baru-baru ini.
Kata Adi, tidak hanya Mira Filzah dan Hizbur Rahman, program Umrah Bersama Selebriti turut melibatkan penyertaan daripada dua artis lain iaitu Roslan Shah dan AG dari Kool FM serta ikon, Maulana Noor Effendi Hamid.
SUMBER:SINAR ONLINE

Post a Comment