Header Ads

Pelakon Lydiawati Diberi Amaran Keras Gagal Hadir Awal Ke Mahkamah



Mahkamah Majistret Ampang di sini memberi amaran keras kepada pelakon popular tahun 80-an, Lydiawati, kerana gagal hadir awal di mahkamah hari ini untuk sebutan kesnya yang menghadapi tuduhan mencederakan seorang wanita menggunakan besi, Mac lepas.


Majistret Haslinda A. Raof memberi amaran itu selepas Lydiawati, 51, atau nama sebenarnya Salina Zaimon, yang memakai jubah dan bertudung hitam dipanggil ke kandang tertuduh pada pukul 11.43 pagi. 

Ketika ditanya Haslinda, Lydiawati memberi alasan punca kelewatan adalah kerana dia baru sahaja diberitahu yang dia perlu hadir di mahkamah hari ini. Majistret kemudian bertanya bagaimana tertuduh tidak tahu dia perlu hadir di mahkamah hari ini sedangkan mahkamah telah menetapkan tarikh sebutan kes pada prosiding lepas. 

Peguam Fatimah Zahrah Ramli yang mewakili Lydiawati memaklumkan tertuduh menunggu pegawai penyiasat (IO) menghubunginya sebelum hadir di mahkamah. 

"Itu bukan tanggungjawab IO, itu tanggungjawab tertuduh sendiri. Saya batalkan waran tangkap dan memberi amaran keras, jika lain kali terlewat lagi, saya naikkan jaminan," kata Haslinda. Terdahulu, mahkamah yang mula bersidang pada 9 pagi telah memanggil pelakon itu pada pukul 10.37 pagi dan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya kerana tertuduh dan penjaminnya tidak hadir. 

Bagaimanapun pada pukul 11.13 pagi, Lydiawati tiba di mahkamah ditemani seorang rakan. - BERNAMA



No comments

Note: only a member of this blog may post a comment.

Powered by Blogger.