Header Ads

15 Tahun Ayah Tipu Mak, Dalam Diam Ayah Kahwin Lagi



Poligami bukan hal remeh. Ramai lelaki seronok bila bercakap tentang topik poligami. Seronok bila mempunyai isteri lebih dari seorang. Seronok memikirkan nikmat batin yang boleh dirasai. Wahai lelaki, bacalah kisah ini, moga menjadi panduan dan pendoman di hari Jumaat yang mulia ini. 

Aku seorang anak lelaki dan hari ini akan aku kisahkan hakikat sebenar poligami kepada anda semua terutamanya lelaki. Perihal poligami bukan hanya sekadar berkahwin lebih dari seorang, tetapi ia jauh lebih berat dari itu. 

Kisah ini adalah berkenaan ayah aku. Pada tahun 1998, ayah kantoi dengan mak yang dia mempunyai perempuan simpanan. Pada masa itu, dia sudahpun ada seorang anak dengan perempuan tersebut. 

Mak pada waktu itu, sibuk menjaga kami adik beradik yang masih kecil. Mungkin di kesempatan itu, ayah mengambil kesempatan juga untuk berkahwin dengan perempuan lain. 

Walaupun pada masa itu aku berusia 7 tahun, aku masih ingat di saat mak bawa semua adik beradik, ada yang berdukung, ada yang dalam stroller pergi ke rumah perempuan itu. Lebih mengejutkan, rumah perempuan itu hanya jalan kaki saja jaraknya! Dekat! Mungkin dalam 200-300 meter sahaja. Semestinya mak aku terkejut dan kecewa dengan tindakan ayah bernikah lain walhal rumah tangga dijaga elok, hari-hari masak, kemas rumah dan jaga anak-anak. Apa lagi yang ayah mahu?

Setibanya di rumah perempuan itu, ayah ada di dalam rumah itu, maka bermulalah mak aku mengamuk sehingga ayah melafazkan cerai terhadap perempuan tersebut secara lisan dan bertulis. Mak percaya, ayah tidak lagi berhubung dengan perempuan itu dan cerita ini, berakhir di sini.

Sejak dari peristiwa itu, perniagaan ayah tidak menjadi dan muflis. Tiada wang yang mencukupi, kami terpaksa berpindah ke rumah nenek (mak kepada ayah) buat sementara waktu. Mak berniaga kuih dan nasi lemak setiap pagi, ayah pula bekerja sebagai pemandu teksi untuk mencari duit belanja demi anak-anak. 

Hari-hari ayah keluar mencari rezeki, namun bila pulang malam, hanya sedikit saja duit belanja yang ada untuk mak. Mak bersabar kerana begitulah suami isteri, susah senang bersama, perlu bertoleransi. Lagipun duit pendapatan jual kuih dan nasi lemak juga ada sedikit untuk meringankan bebanan keluarga. 

Tahun berganti tahun, ada saja yang tidak kena. Teksi ayah kerap rosak dan sewa teksi semakin tertunggak. Selalu juga mak keluarkan duit simpanannya untuk membantu ayah membayar sewa tertunggak, kos baiki kereta atau kos deposit keluarkan teksi baru. Mungkin Allah nak menduga, mak bersabar lagi. 

15 tahun kemudian (2013)

Rezeki ayah semakin sempit, teksi yang dibawa semakin kerap rosak walaupun sudah bertukar-tukar kenderaan. Wang tidak pernah juga cukup diberikan sehingga terpaksa meminjam duit dari Pak Long, Pak Ngah dan adik beradiknya yang lain. Kadang kala ayah kata terima job outstation, mungkin hantar orang ke Pulau Pinang, Kedah atau mana-mana tempat yang lain. Jadi, dia tidak pulang dan bermalam di sana. Kalau duit tidak mencukupi, ayah akan meminta mak keluarkan duit simpanan mak untuk dipinjam. Mak pun berilah duit untuk kos minyak dan hotel untuk ayah bermalam di sana. 

Sehinggalah satu hari mak mendapat berita dari makcik-makcik (gossip girls) yang mereka pernah ternampak ayah bersama dengan perempuan lain (perempuan yang diceraikan 15 tahun lalu). 

Retak seribu hati mak. Sepanjang 15 tahun sudah berlalu, rupanya ayah masih ligat menipu dan berdusta. Maka tidak hairanlah rezekinya sempit dek berdusta tak sudah dan bertambah kecewanya hati mak bila tahu perempuan itu tinggal di daerah yang sama. Malah sudah mempunyai 2-3 oramng anak. 

Bila ayah rujuk semula dengan perempuan itu? Tak cukupkah mak dah beri dia peluang untuk tidak menipu lagi? 

Pada waktu itu, aku pelajar tahun akhir IIUM. Serabut juga kepala otak memikirkan mak yang sedih kerana ditipu suami selama lebih 15 tahun. Mak yang tidak pernah kisah bersusah bersama, menjalankan tanggungjawab dengan sempurna, masak setiap hari, mengasuh anak-anaka, menyiapkan pakaiannya setiap hari. Mak tak pernah makan malam sebelum ayah pulang. Begit setianya mak, begitu butanya ayah. 

Selepas mendapat tahu, maka setiap hari mak dan ayah bergaduh. Aku juga pernah memukul mak sehingga lebam-lebam. Abang-abang aku bekerja, jadi akulah yang lebih fleksibel untuk pulang ke rumah menenangkan dan melindungi mak. Pointer drop sikit demi sedikit nasib baik tahun akhir, dapat juga grad 2nd class. 

Pernah sekali aku bermaki-makian dengan ayah dan hampir bertumbuk. Namun pakcik aku sempat menarik aku ke  rumahnya untuk ditenangkan. Kini ayah semakin terdesak perlukan duit. Rupa-rupanya dia banyak berhutang dengan kawan-kawan, adik beradik, along dan ceti pun ada. Duit itu kami semua tak tahu ke mana, barangkali untuk menyara keluarga sebelah sana. 

Lebih mengeruhkan keadaan, perempuan itu memaki dan memfitnah mak aku di Facebook. Mak pernah terbaca mesej antara dia dan ayah. Barangkali jika dia kata dia outstation, sebenarnya dia tidur di rumah sana. 

Kes semakin melarat, aku bawa mak ke Mahkamah Syariah. Mereka dipanggil untuk kaunseling. Mak kemudiannya membuat permohonan fasakh. Saat itu barulah mak buka cerita yang ayah pernah ada rekod jenayah cabul ketika kami kecil. Namun didiamkan kerana bimbang anak-anak membesar tanpa ayah.

Kami mencari rumah sewa kerana bimbang ayah akan bertindak gila dan memberi tekanan kepada mak. Dalam tempoh setahun, ayah cuba memujuk mak pulang semula ke rumah lama. Tanpa berbincang dengan anak-anak, mak terus pulang ke sana. Kes fasakh ditarik semula. 

Julai 2016

Dalam tempoh ini, mak cuba untuk melupakan hal si ayah dan bini sundalnya itu. Ayah sudah tidak bekerja lebih setahun. Kami anak-anak memberikan sedikit duit belanja mengikut kemampuan. Mak, ligat menjual kuih, ayah pula mula berkopiah dan sering ke masjid. Namun, sering kali juga dia meminta wang untuk membayar ceti. Masalahnya, duit yang dipinjam itu tidak pernah pun mak rasa dan tidak tahu menahu jika tiada orang yang beritahu. Pastinya digunakan untuk perempuan sundal itu. 

Dia minta, bukannya sikit tetapi RM7,000! Dia mula naik gila, menghalau mak dari rumah sedangkan rumah itu batu batanya dan semuanya hasil titik peluk mak berniaga. Ayah tak bekerja, terus menipu saja. 

"Berambus kau dari rumah ni!" kata ayah. 

"Kalau begitu, abang ceraikan saja saya," pinta mak. 

"Kau bagi aku RM30,000 dulu kalau nak aku ceraikan kau!" tegas ayah. 

Video insiden ini dirakam oleh mak. Aku pun peluk kenapa dengan ayah aku ini. Kenapa dia masih mahu menzalimi mak? Pergilah berambus dengan perempuan sundal itu. 

Ayah mula menyuruh abang sulung buat pinjaman peribadi. Katanya akan bayar setiap bulan, RM300. Sedangkan duit belanja mak, RM50 sebulan pun dia tak mampu beri. 

Dia mula menengking, sifat sebenar dia sudah mula ditonjolkan. Kopiah di kepala hanya sandiwara sahaja. Kali ini aku bertumbuk dengan dia. Akhirnya aku ke mahkamah untuk buka semula kes fasakh dan mahkamah membenarkan untuk bawa mak keluar. Kes akan dibicarakan bulan depan. Doakan agar kali ini kes selesai. Noktah. 

Berpoligami itu memang sunnah nabi tetapi banyak yang perlu dititikberatkan. Isteri yang baik, hargailah. Jangan kita hidup dengan menipu isteri/suami. Allah itu Maha Adil. Jangan memandang enteng isu poligami. 

Ini kisah benar, aku saksi satu persatu nikmat Allah ditarik dari ayah aku. Kini dia berhutang keliling pinggang, ceti dan along sedang mencari. Rumah yang lama sudah dituntut oleh tuan tanah, kereta dan simpanan langsung tiada. Isteri yang selama ini menyokong, sudah tiada. Anak-anak sudah pun memberikan peluang namun masih sama, memudaratkan. 

Kami anak-anak lelaki perlu melindungi mak kerana dia syurga, dialah segala-galanya. Aku hanya minta mak aku dilepaskan dari seksaan ini. Mak juga ada hak untuk hidup bahagia. Jika kau kata berpoligami itu murah rezeki, aku kata tidak. Banyak lagi cari lain untuk murah rezeki. 


No comments

Note: only a member of this blog may post a comment.

Powered by Blogger.