Kejadian Amuk, Suspek Bunuh Pasangan Suami Isteri Dan Anak
Entah apa yang merasuk fikiran seorang pemuda yang dipercayai di bawah pengaruh dadah methamphetamine apabila dia tergamak membunuh sepasang suami isteri dan anak lelaki mereka dengan mengelar mangsa dalam kejadian amuk di sebuah rumah di Kampung Bertam Malim, di sini awal pagi ini.
Suspek yang berusia 26 tahun dipercayai menggunakan pisau panjang untuk mengelar ketiga-tiga mangsa iaitu Hassan A. Wahab, 70, dan isterinya, Mariah Baharin, 62, yang lumpuh serta anak lelaki tunggal mereka, Mohammad Taufeq, 22, dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi itu.
Mayat ketiga-tiga mereka ditemukan berasingan pada pukul 6.45 pagi oleh penduduk kampung yang datang ke rumah keluarga itu selepas terdengar jeritan meminta tolong.
Suami isteri itu ditemukan dalam bilik tidur yang berasingan manakala mayat Mohammad Taufeq pula yang merupakan penuntut tahun satu Universiti Utara Malaysia, Kedah dijumpai di ruang tamu.
Kesemua mereka meninggal dunia di tempat kejadian dengan kesan kecederaan akibat dikelar di bahagian tangan, bahu dan kepala.
Dua lagi anak perempuan pasangan tersebut iaitu Noorhaslinda Diyana, 27, dan Nur Aqiedah Aeina, 24, turut mengalami kecederaan parah di kepala akibat dikelar oleh suspek yang sama.
Ibu Mariah, Siti Khatijah Mohamed, 80, yang uzur bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dalam kejadian itu.
Dua adik-beradik yang cedera parah kini dirawat di Hospital Melaka di sini dan keadaan mereka dilaporkan kritikal.
Selepas kejadian itu suspek melarikan diri dengan memandu sebuah kereta jenis Perodua Myvi namun dia berjaya ditahan polis empat jam kemudian di sebuah masjid di Bukit Rambai, kira-kira lapan kilometer dari lokasi rumah keluarga malang itu.
Kediaman tersebut dihuni oleh lapan orang termasuk suspek namun hanya tujuh individu berada di rumah semasa kejadian sementara seorang lagi, Mohammad Qabir Abd. Rahman, 21, yang merupakan anak saudara pasangan suami isteri terbabit keluar bekerja.
Suspek merupakan anak angkat kepada adik pasangan suami isteri tersebut.
Sementara itu jiran mangsa, Norashikin Mohd. Aripin, 33, memberitahu, dia terdengar bunyi kenderaan mengundur secara kuat meninggalkan kawasan rumah mangsa dalam keadaan tergesa-gesa kira-kira pukul 6.15 pagi.
Menurutnya, ketika kejadian dia sedang bersiap-siap untuk bekerja terdengar jeritan meminta tolong kira-kira 15 minit kemudian.
“Pada mulanya saya ingatkan suara jeritan itu daripada televisyen tetapi sebaik sahaja menjengah ke luar tingkap saya dapati ia datang dari rumah jiran,” katanya yang kemudian segera menghubungi beberapa lagi jiran dan bersama-sama ke rumah mangsa yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya.
Norashikin berkata, sebaik sahaja tiba di rumah keluarga itu dia mendapati salah seorang mangsa yang parah terbaring di tepi pintu sambil menyebut nama suspek.
Dia kemudiannya menghubungi Balai Polis Balai Panjang di sini untuk memaklumkan kejadian itu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Ramli Din ketika ditemui di tempat kejadian berkata, setakat ini hanya seorang suspek dipercayai terlibat dalam kes kematian tiga beranak itu dan motif sebenar kejadian masih disiasat.
“Polis mengesyaki suspek penagih dadah tegar dan memiliki rekod kes dadah. Motif kejadian ini masih dalam siasatan sama ada ia berkaitan dengan ketagihan (dadah) atau minta wang dan itu kemungkinan besar,” katanya sambil memberitahu mayat tiga beranak itu dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.
Tambah Ramli, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Suspek yang menganggur pula akan direman bagi membantu siasatan.
Post a Comment