Kerana Janji Arwah 'Hanya Ajal Yang Pisahkan Saya Dari Awak, Sayang.. Bukan Orang Ketiga'
Kakishare.my - Perasaan rindu dan kasih dizahirkan Nurulhidayah menerusi laman media sosial miliknya semalam sempena ulang tahun perkahwinan yang ke-9 mereka.
Tanpa menafikan hubungan perkahwinan yang dibina ada pasang surutnya, namun Nurulhidayah bersyukur dipertemukan dengan Allahyarham 10 tahun yang lalu.
“Latar belakang keluarga Allahyarham bukanlah dari golongan berada. Saya percaya, kekayaan bukan ukuran kebahagiaan.
“Untuk bernikah, kami membuat pinjaman peribadi dengan Bank Islam pada ketika itu. Masuk anak kedua baru hutang nikah selesai,” katanya yang menceritakan perjalanan perkahwinan yang dilaluinya sejak 2007.
Hubungan terlimpah dengan kasih sayang suami
Memulakan perjalanan hidup dengan sederhana, Nurulhidayah berkata, Allahyarham adalah seorang yang kuat bekerja demi keluarganya.
“Semasa tempoh berkenalan, saya merahsiakan latar belakang keluarga saya. Alhamdulillah abah bukanlah jenis 'menjual anak'. Cukup sekadar kemampuan Allahyarham ketika itu,” ujarnya.
Nurulhidayah bersama Allahyarham mengikat hubungan suci dengan hantaran bernilai RM8,888 dan mas kahwin RM380.
Menurut Nurulhidayah lagi, setelah mendirikan rumah tangga, pasangan itu menyewa rumah di Mutiara Damansara.
“Kami sewa rumah teres dua tingkat dengan harga RM1,500 sebulan. Itu pun berkongsi bayar. Bahagia sangat. Paling bahagia, bila kami berkahwin, anak terus jadi tiga orang (Allahyarham mempunyai dua anak dari hasil perkahwinan terdahulu, saya mempunyai seorang anak). Itulah orang kata, bila gaduh semua lupa. Bila macam ni semua ingat.
“Buat yang masih bersuami atau beristeri, kalau boleh jangan ambil ringan benda yang kecil. Jangan ambil kesempatan atas kebaikan pasangan kita. Berkasih sayanglah selagi dia halal untuk kita,” ucapnya.
Suami bukan barang!
Tegasnya lagi, suami bukanlah objek yang boleh ditukar ganti malah seorang lelaki bernama suami itu adalah anuegarh terbaik buat seorang isteri.
“Ada yang beritahu 'barang yang lepas jangan dikenang'. Suami bukan 'barang'. Bukan semua lelaki jahat. Nakal itu biasa. Mak pernah pesan, baik buruk seorang suami adalah dari kasih sayang seorang isteri.
“Lain orang lain pengalaman. Hampir sembilan tahun perkahwinan dengan arwah, ALLAH memelihara perkahwinan kami walaupun ujian datang silih berganti. Kerana janji arwah "Hanya ajal yang pisahkan saya dari awak, sayang.. Bukan orang ketiga"..
"Allahyarham pegang janji itu hingga ALLAH menjemputnya pada tanggal 1 Jun 2016. Allahu Akbar!... Selamat malam semua. Terima kasih kerana sudi membaca coretan rasa kerinduan ini.. Al Fatihah,” tulis Nurulhidayah mengakhiri tulisannya.
Sumber : SH
Post a Comment