Header Ads

Perompak Ditembak Selepas Samun Wang Berjumlah RM 300




Rawang: Seorang penjenayah parah terkena beberapa das tembakan selepas menyamun seorang peniaga kedai barangan elektrik di Batu 16, Rawang, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, dalam kejadian 4 petang itu, suspek bersenjatakan pedang samurai masuk ke kedai dan meminta wang daripada peniaga lelaki berusia 53 tahun.

Menurutnya, bimbang dicederakan mangsa menyerahkan wang tunai RM30.

"Bagaimanapun, suspek merampas tablet serta wang tunai RM300 yang berada dalam beg tablet berkenaan.

"Ketika kejadian, seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak kebetulan berada di lokasi kejadian bersama keluarganya," katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Beliau berkata, anggota polis berpangkat sarjan itu memberi amaran dan meminta suspek menyerah diri.

"Bagaimanapun, suspek bertindak ganas dan cuba melibas pedang ke arah muka anggota polis berkenaan.

"Bagi mempertahankan diri, anggota polis berkenaan terpaksa melepaskan empat das tembakan dan mengenai tubuh suspek," katanya.

Menurutnya, suspek yang rebah cuba bangun untuk melarikan diri dengan membonceng motosikal ditunggang seorang rakannya.

"Usaha suspek gagal apabila kedua-dua lelaki terbabit berjaya diberkas dengan bantuan mangsa.

"Seorang lagi suspek turut ditahan ketika berada di luar kedai berkenaan," katanya.

Ali berkata, suspek yang cedera dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

"Ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 20 hingga 30-an dipercayai pernah terbabit dalam beberapa kes samun sebelum ini," katanya.


No comments

Note: only a member of this blog may post a comment.

Powered by Blogger.