Header Ads

Nasi Lemak Anak Dara Difitnah Gambar Separuh Bogel



KUALA LUMPUR, 6 Okt ― Kesabaran penjual Nasi Lemak Anak Dara teruji lagi apabila menerima kiriman gambar separuh bogel melalui aplikasi mesej WhatsApp.

Siti Hajjar Ahmad menafikan beliau meniarap di sofa seperti dalam foto wanita yang ditunjukkan kepadanya dan menyifatkan tuduhan itu suatu fitnah untuk menjatuhkan perniagaannya.

“Tolonglah saya tidak pernah berpakaian macam itu dan tidak pernah ambil gambar macam itu. Emak dan arwah abah saya ajar saya dengan elok.  

“Saya minta tolong sangat, janganlah sebar benda yang salah. Hendak jatuhkan seseorang itu senang kalau guna dengan cara teknik kotor,” katanya di Facebook miliknya petang ini.

Hajjar, 24, membuka kembali akaun Facebook dua hari lalu selepas akaun lamanya yang memiliki lebih 4,500 rakan dan 29,000 pengikut disekat.

Graduan kejuruteraan elektronik perubatan sebelum ini disaman RM300 oleh Majlis Bandaraya Shah Alam kerana tidak memiliki lesen perniagaan.

Tidak dapat dipastikan siapa yang mengirim gambar itu kepada Hajjar, namun si pengirim mendakwa mahu berkawan dengannya dan menuntut kepastian gambar tersebut.
Dalam perbualan WhatsApp tersebut, gadis berasal dari Sungai Petani, Kedah itu mengancam untuk mendedahkan perbualan peribadi mereka jika terus diganggu individu berkenaan.


"Hendak saya viral mesej ini sebab beri gambar entah apa-apa? Tolonglah buka minda itu," katanya.

Mengulas lanjut di Facebook, Hajjar berkata usahanya berniaga seharusnya mendapat sokongan dan bukan mendapat kritikan kaum sendiri.

“Saya tahu ramai yang iri hati dan dengki dengan saya. Ramai yang kutuk-kutuk saya.

“Tetapi yang saya peliknya, ramai bangsa Melayu kita ini hendak tengok Melayu berjaya tetapi apabila orang itu sudah naik sikit, mulalah hendak mengata macam-macam.

“Rezeki itu datang dari Allah. Apa yang jadi dekat saya semuanya takdir Allah sudah aturkan. Jadi hendak salahkan takdir Allah?” soalnya.


No comments

Note: only a member of this blog may post a comment.

Powered by Blogger.