50 Tips Ajak Suami Anda Buat Kerja Rumah Bersama
1. Tunjuk ajar. Isteri kena tunjuk ajar suami bagaimana untuk melakukan kerja rumah. Mungkin cara untuk melipat baju, menukar lampin bayi dan memasak makanan kegemaran anda.
2. Kata-kata manis. Sentiasa memuji kecemerlangan suami membantu anda melakukan kerja rumah.
3. Pakar psikologi mengatakan bahawa pelukan akan memberikan ketenangan jiwa kepada pasangan. Buat kejutan dengan memeluknya semasa dia asyik melakukan kerja rumah.
4. Nasihat. Pastinya sukar untuk menyuruh suami membantu. Beritahu kepadanya anda perlu bantuannya untuk menguruskannya rumah tangga tambahan pula anda juga seorang ibu yang bekerja.
5. Merajuk ‘manja’. Tidak salah jika sekali-sekala anda merajuk dengan sikapnya yang tidak mahu membantu. Dengan perubahan sikap anda, dia mungkin akan berubah dan mengakui kelemahannya itu.
6. Pujukan dengan bijaksana. Lakukan dengan pujukan untuk meminta bantuannya. Dengan cara ini dia akan turut sama membantu mengemas rumah.
7. Elakkan penggunaan ayat perintah atau arahan. Oleh kerana mereka ini digelar ketua keluarga pastinya tercabar jika si isteri memberi arahan seperti, “Abang, jemur pakaian ni!”, sebaliknya katalah, “Abang, boleh tolong jemur pakaian ni?”
8. Panggilan manja dengan panggilan ‘abang’ dan sebagainya yang menambah kemesraan dan kasih sayang. Pastinya hatinya berbunga-bunga dan sedia membantu anda.
9. Raikan. Hakikatnya manusia memang suka dirinya dihargai. Tidak salah jika anda membelikan hadiah istimewa atau belanja makan sempena meraikan kejayaannya membantu anda menjaga anak-anak semasa anda ‘out station’ atas urusan kerja.
10. Minat bersama. Jika anda menghargainya, cuba untuk meminati hobi suami anda. Jika dia suka menonton perlawanan bola sepak, anda juga perlu menunjukkan minat. Begitu juga halnya dengan suaminya yang terpaksa belajar menguruskan rumah demi isteri tersayang.
11. Urutan kasih sayang. Pastinya suami suka setelah membantu isterinya membuat kerja rumah, ada pula urutan manja daripada isterinya.
12. Senyuman. Isyarat tubuh seperti senyuman boleh diberikan kepada suami semasa dia membantu anda. Senyuman ini tanda sebagai anda menghargai pertolongannya.
13. Cantik dipandang mata. Katakan kepada suami dalam bentuk jenaka bahawa anda kini mempunyai masa untuk ke spa dan berhias kerana suami membantu anda meringankan kerja rumah.
14. Anak kecil. Beritahu kepada suami, anda tidak sempat mengemas rumah yang bersepah kerana menguruskan anak kecil. Anda perlukan bantuannya untuk melakukan kerja-kerja itu.
15. Bukan ‘superwoman’. Anda kepenatan dan sebagai ibu bekerjaya, anda tidak dapat melakukan semua kerja tanpa bantuan suami. Katakan kepadanya anda bukan ‘superwoman’ dan anda perlukan ‘superman’ untuk membantu. Pastinya suami anda tersenyum dengan kata-kata anda.
16. Berkongsi cerita. Tentu ada segelintir suami yang sukar untuk menerima hakikat dia mesti membantu isterinya memasak, menyapu, membuang sampah dan menyidai pakaian diampaian. Jadi, cubalah ceritakan tentang suami kawan anda yang membantu isterinya. Mungkin cara ini membuatkan dia cuba memberikan yang terbaik buat isteri tersayang. Namun awas, usah terlalu kerap membuat perbandingan kerana ramai lelaki yang tidak gemar diri mereka dibandingkan dengan orang lain!
17. Ketawa bersama setelah penat melakukan tugasan rumah. Pastinya anda dan suami lebih harmoni dalam suasana ini.
18. Luah rasa tidak puas hati. Jika selama ini suami tidak pernah mengambil peduli urusan menjaga anak seperti bangun malam menukar lampin, buat susu dan anak demam. Anda pula hanya memendam rasa. Tidak salah untuk anda meluahkan rasa tidak puas hati itu kepadanya. Sebagai isteri anda ada hak. Mungkin selepas itu suami baru sedar akan kesilapannya itu.
19. Baca buku mengenai tanggungjawab dalam perkahwinan. Ajak suami untuk membacanya. Mungkin dia sudah lupa akan tanggungjawab itu. Ia membuatkan suami berfikir untuk berubah.
20. ‘Refresh!’. Inilah masa untuk anda dan suami mengingati detik-detik bahagia di alam percintaan dulu. Susah senang akan diharungi bersama.
21. Time out! Wujudkan had masa untuk anda melakukan kerja rumah dan selebihnya untuk suami melakukannya pula. Anda juga perlu mendapat rehat yang cukup.
22. Buat kejutan dengan memberikan topi chef yang dibeli oleh anda. Pasti suami ketawa apabila melihat gelagat anda yang bersungguh-sungguh untuk mengajarnya memasak.
23. Lakukan aktiviti bersama. Bukan semua lelaki dilahirkan untuk melakukan kerja-kerja rumah. Jadi tidak salah untuk anda raikan dia dengan melakukan pekara yang disukainya pada hujung minggu.
24. Sikap tolong menolong. Lazimnya alasan yang diberi oleh suami ialah mereka penjana kewangan keluarga. Jadi sikap itu membuatkan mereka lupa konsep tolong menolong dalam rumah tangga. Cuba minta suami untuk menolong anda. Ia sikap yang mulia.
25. Setiap kali suami membantu anda, jangan lupa ucapkan ‘terima kasih’. Wajah anda yang ‘muncung’ tadi pasti bertukar senyum!
26. Sediakan sarapan bersama. Hujung minggu adalah waktu santai untuk anda bersama suami. Ajak dia membantu anda di dapur untuk menghidangkan sarapan yang ringkas.
27. Persediaan. Kadangkala, anak kecil anda bangun malam untuk minum susu formula. Jadi, sediakan kelengkapan penyusuan di tempat yang mudah dicapai oleh suami anda. Orang lelaki akan lebih mudah membantu jika kita sediakan kelengkapannya!
28. Hari kebersihan. Inilah cara mudah untuk membersihkan rumah bersama suami. Sesuai dilakukan pada hujung minggu.
29. Jadual tugas. Pembahagian kerja akan lebih jelas jika ada jadual. Libatkan juga anak-anak anda agar mereka dapat belajar erti bantu membantu, tanggungjawab dan kasih sayang.
30. Isu pakaian kotor. Sediakan bakul khas untuk menempatkan pakaian kotor dan maklumkan kepada suami anda. Ini akan memudahkan suami mengambil pakaian tersebut untuk di basuh dengan menggunakan mesin.
31. Ruang baju. Pakaian yang dibasuh banyak dan anda tidak mempunyai masa untuk melipatnya. Inilah masanya pertolongan suami diperlukan. Jadi sediakan ruang khas untuk memudahkan suami menyangkut pakaian yang telah kering.
32. Sesekali tulis nota kepada suami untuk memberitahu perasaan gembira anda. Anda boleh menampal nota itu di peti sejuk, cermin almari, bilik air, bilik tidur dan ruang-ruang lain. Cara ini membuat hatinya tersentuh apabila membaca nota kegembiraan anda dengan pertolongannya membuat kerja rumah.
33. Ke pasar bersama. Bawa dia ke pasar untuk membeli barang-barang masakan. Cara ini membuatkan dia berfikir bahawa tugas isteri bukan hanya di dalam rumah sahaja sebaliknya di luar juga.
34. Rutin. Memang nampak ‘kejam’ membiarkan suami melakukan kerja-kerja rumah secara rutin. Tetapi inilah terbaik untuk mengajak suami membantu anda.
35. Jangan ambil kesempatan. Jika anda sudah selesai melakukan kerja rumah, tidak salah untuk anda membantunya. Secara tersiratnya, tiada konsep ‘berkira’ dalam berumah tangga.
36. Ambil tugas suami. Sekali sekala anda boleh ‘membeli jiwa’ suami di hujung minggu untuk membasuh keretanya. Pasti dia gembira dengan cara anda itu.
37. Kelengkapan kerja suami. Memang benar anda sibuk tetapi jangan abaikan keperluan suami anda misalnya menggosok baju kerjanya, menyediakan sarung kaki dan tali lehernya.
38. Sarapan pagi. Tidur lewat disebabkan anak kecil yang masih menyusu badan bukan alasan untuk anda tidak kesempatan membuat sarapan pagi sebelum suami pergi bekerja. Biar ringkas tetapi sarapan pagi tetap terhidang di meja untuk suami tercinta.
39. Whatsapp kepada suami dengan kata-kata romantis supaya perhubungan lebih erat walaupun sibuk dengan tugsan harian.
40. Senda gurau. Masing-masing pulang ke rumah setelah seharian di tempat kerja. Di rumah pula ada rutin kerja rumah yang perlu diuruskan. Jangan ‘stress’. Cubalah bersenda gurau semasa melakukan kerja rumah itu.
41. ‘Fun’ bersama anak. Ajak anak membantu ayahnya melakukan kerja rumah dalam keseronokan. Cara ‘fun’ ini sudah pasti membuatkan suami tidak merasakan ia bukan satu beban tetapi satu kewajipan.
42. Pasangkan muzik. Sambil melakukan kerja rumah, suami anda sudah tentu tidak bosan kerana dihiburkan dengan muzik kesukaannya.
43. Emosi. Jangan terlalu beremosi apabila suami tidak mahu membantu anda. Mungkin dia mengambil masa untuk melakulam perubahan dalam dirinya.
44. Komunikasi. Ia adalah satu cara yang terbaik dan bagus untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga. Sentiasa berbincang mengenai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Jika ada cuba untuk berubah.
45. Ihklas. Memang bertuah jika suami membantu anda walaupun semasa kedatangan ibu dan ayah mentua atau ibu bapanya sendiri.
46. Beri suami ruang. Sebagai isteri, anda perlu faham bahawa suami adalah individu berlainan dengan anda. Dia mempunyai ibu bapa dan kawan-kawan dalam hidupnya. Berikan dia ruang masa untuk melakukan aktiviti bersama mereka itu. Dengan ini, dia tetap mempunyai masa itu walaupun membantu anda di rumah.
47. Membebel. Sesekali anda boleh membebel kerana sedikit sebanyak dapat meluahkan ketidakpuasan hati tetapi jangan keterlaluan sehingga menimbulkan kebosanan suami! Ingat, sikap ini tidak digemari para lelaki!
48. Balik awal ke rumah. Dengan ini anda dan suami dapat melakukan kerja rumah dengan cepat. Malah masa untuk berehat pula lebih lama.
49. Wangian. Pastikan ruang tamu disediakan aroma terapi yang mendamaikan. Ia membuatkan minda anda dan suami lebih ‘rileks’ setelah penat seharian menguruskan rumah tangga.
50. Gembira di tempat tidur. Apabila suami banyak membantu anda, seharusnya anda memberi mereka ‘hadiah’ dengan menjaga hubungan intim dengan baik.
Semoga dengan perkongsian 50 tip untuk isteri ajak suami bantu buat kerja rumah diatas memberi manfaat kepada kita semua. Sila share dan sebarkan info ini agar ianya lebih bermanfaat. Terima kasih
Post a Comment