Header Ads

Makcik 'Terbang' Kongsi Kisah Bagaimana Beliau Boleh Terterbang Atas Bumbung Kereta




KULIM, 1 Nov - Baru-baru ini, kes seorang wanita yang terlibat kemalangan lalu terduduk di atas bumbung teksi menjadi bualan orang ramai kerana terpegun macam mana dia boleh 'terterbang' di atas bumbung teksi tersebut.

Wanita terbabit, Muriati Koromoh, 60, seorang tukang urut kini sedang dirawat kerana cedera di tangan kanannya.

Lebih mesra dengan panggilan 'Mama', wanita terbabit menceritakan bagaimana kejadian ajaib itu berlaku.

Menurut Mama, dalam perjalanan  ke rumah adiknya di Bukit Mertajam untuk makan tengahhari bersama ketika kejadian berlaku.

"Hari itu adik ada telefon mengajak saya makan nasi di rumahnya, selepas solat Zohor saya bergegas ke sana menaiki motosikal.

"Setibanya di simpang empat Jalan Lunas-BKE saya meneruskan perjalanan apabila lampu isyarat masih berwarna hijau,"katanya ketika ditemui oleh Sinar Harian.

Menurutnya, tiba-tiba sebuah teksi melintas laluannya dan disebabkan terlalu hampir, dia tidak sempat menekan brek.

"Memang masa itu tengah lampu hijau saya bawa motor seperti biasa lah tapi secara tiba-tiba teksi tersebut melintas jalan itu, memang tak sempat nak brek.

"Motosikal terus berlanggar dengan teksi tersebut dan saya terlambung di atas bonet bahagian depan dan sempat melaungkan kalimah ALLAHUAKHBAR.

"Kali kedua saya terlambung jatuh di atas bumbung teksi dalam keadaan mengiring sebelum saya bangun duduk di situ dan membuka topi keledar yang dipakai," katanya lagi.

Tambah Muriati lagi, dia rasa sakit di bahagian tangan dan kaki mula dirasai beberapa minit selepas kemalangan.

"Pada mulanya saya tak rasa apa-apa selepas itu baru sakit. Pemandu teksi tersebut juga keluar melihat dan meminta saya turun.

"Ada beberapa pengguna jalan raya cuba membantu saya turun dari bumbung dan meminta pemandu tersebut segera menghubungi ambulans,"katanya.

Tambahnya, kejadian itu satu tragedi mengejutkan dan mungkin kerana amalan membaca ayat al-Quran telah menyelamatkan nyawanya.

"Memang setiap kali keluar saja dari rumah saya baca ayat Qursi untuk melindung diri. Mungkin berkat amalan ayat suci al-Quran ALLAH menyelamatkan saya walaupun terlibat kemalangan.

"Walaupun selepas ini aktiviti mengurut tak dapat dijalankan seperti biasa namun saya percaya ALLAH akan beri rezeki cara lain. Saya reda,"katanya.


No comments

Note: only a member of this blog may post a comment.

Powered by Blogger.