Header Ads

Wanita Dakwa Temui Barangan Peribadi Milik Mangsa Tragedi MH370




Perth, 19 Dis: Keberadaan pesawat MH370 masih lagi menjadi misteri sehingga hari ini biarpun sudah hampir tiga tahun pesawat itu hilang. Sehingga kini, kedudukan pesawat malang itu masih belum diketahui walaupun sudah ada serpihan-serpihan yang diketemukan.
Terkini, seorang wanita di Perth, Australia mendakwa dia telah menemui barangan peribadi milik mangsa tragedi MH370 yang hilang pada Mac 2014.
Antara barangan yang ditemui oleh Sheryl Keen adalah kasut, selipar, beg tangan, dompet dan topi.
Sheryl bekerjasama dengan penyiasat amatur, Baline Gibson bagi mencari sebarang petunjuk yang mampu merungkai misteri kehilangan MH370.
Apa yang menyakinkan Sheryl tentang penemuannya itu adalah satu selipar berwarna perang yang dia percaya dipakai oleh seorang penumpang wanita berdasarkan rakaman kamera keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada hari kejadian.
"Kami mendapati barangan peribadi yang ditemui di sepanjang kawasan pantai Madagascar mempunyai kesan yang sama iaitu sudah lusuh dan rosak.
"Malah pakar kaji laut memaklumkan bahawa kemungkinan besar barangan penumpang dan krew pesawat MH370 akan terdampar di kawasan pantai tersebut," katanya.
Sheryl, yang juga pengerusi Kumpulan Sokongan Kemalangan Udara Australia (ACSGA), berkata dia akan menyerahkan kesemua barangan itu kepada polis.
Sheryl menubuhkan kumpulan ACSGA selepas kematian suaminya dalam nahas pesawat pada 2009 dan berharap dapat membantu keluarga mangsa lain yang terlibat dalam tragedi serupa.
"Kami dalam proses rundingan dengan pihak polis untuk menyerahkan barangan tersebut tetapi pihak berkuasa Malaysia bertanggungjawab dalam mengendalikan penemuan barangan peribadi.
"Australia hanya terlibat dalam pencarian di dasar laut dan saya tidak pasti mahu berhubung dengan pihak mana untuk menyerahkan barang ini," katanya.
Sumber: mStar Online



No comments

Note: only a member of this blog may post a comment.

Powered by Blogger.