Header Ads

Aturan Ketika Menonton Wayang Yang Patut Kita Ikuti




Sudah pasti ramai di antara kita yang gemar menonton filem di panggung wayang. Namun tak ramai yang tahu atau tak ambil kisah tentang aturan atau adab ketika di dalam panggung wayang. Jangan ambil mudah, bimbang ada yang terganggu dengan tingkah dan laku anda itu. Dengan harga tiket wayang yang semakin melambung tinggi, pastinya kita semua mahu puas dengan setiap filem yang ditonton. Oleh itu pastikan anda ikuti tips-tips ini ketika mahu menonton wayang. 

MASUK AWAL
Bersiap sedia lebih awal akan memudahkan anda dan penonton lain dalam panggung. Jika boleh elak masuk panggung semasa tayangan dan jika anda mahu membeli makanan ringan belilah sebelum filem ditayangkan. Bukan apa, takut kelibat anda lalu lalang mengganggu penonton lain yang sedang asyik menonton.

ELAK MENGKRITIK
Hal yang paling biasa dilakukan kebanyakan penonton di panggung adalah mengkritik. Ya, tidak salah untuk anda mengkritik namun adalah lebih baik jika hal itu dilakukan selepas habis tayangan bimbang anda pula akan dikritik oleh penonton lain. Tambahan pula banyak medium lain boleh anda guna untuk meluahkan pendapat, sama ada blogging atau tweet sahaja!

ELAK BERBUAL
Menonton wayang menjadi wadah hiburan untuk menghilangkan stres bagi sesetengah orang jadi fahamilah orang sekeliling anda dan elak berbual ketika tayangan. Hal ini selalunya berlaku pada mereka yang sedang bercinta atau datang secara berkumpulan. Nasihat saya jangan bazirkan wang anda untuk berada di dalam panggung hanya sekadar untuk berbual! Hormat penonton lain yang ingin menikmati cerita yang ditonton.

SILENT MODE!
Ah! masih ada lagi yang tak faham akan hal ini? Ingat, sentiasa pastikan telefon bimbit anda berada dalam keadaan silent mode atau tutup sahaja sehingga tamat tayangan. Anda pasti tidak mahu diganggu dengan panggilan yang tidak perlu semasa menonton bukan? Begitu juga dengan penonton lain, mereka juga tidak mahu terganggu dengan nada dering telefon anda.

TUKANG CERITA
Hal ini sering berlaku jika seseorang itu sudah menonton filem yang ditayangkan lebih sekali. Apa lagi inilah masanya mereka menunjukkan skil sebagai penglipur lara sampaikan ada yang tidak selesa dengan kehadiran mereka di dalam panggung. Jadi, tidak kira sama ada anda sudah menonton atau boleh mengagak kesudahannya, diam dan biar sehingga tayangan berakhir.

ANAK KECIL
Buat pasangan suami isteri yang mempunyai anak kecil adalah lebih baik tidak membawa mereka menonton. Ini kerana kebanyakan anak kecil jarang boleh duduk diam dalam masa yang lama dan hal ini akan menyebabkan mereka menambahkan lagi bunyi-bunyian sampingan yang tidak diingini.


No comments

Note: only a member of this blog may post a comment.

Powered by Blogger.