Jururawat Dituduh Pemalas Kerana Tak Dapat Pindah Wad, Ini Jawapan Jururawat Mengenai Wad Kelas Pertama
WAD KELAS PERTAMA
Aku tengok semenjak dua ni ramai pulak pesakit dan pelawat yang demand nak dapatkan perawatan di wad kelas pertama (1st class). Siap tuduh nurse pemalas lagi. Hal ni paling kerap berlaku kat hospital kerajaan lah. Dan yang sering menjadi mangsa, adalah jururawat kat wad 3rd class dan unit kecemasan.
Rata-rata depa akan demand nak dapat 1st class atas alasan depa ni dah bayar cukai GST, berketurunan YB dan Dato' sekian-sekian, artis meletop-letop dan sebagainya.
Yang paling best bila depa ugut,
"Kalau tak dapat wad 1st class, saya mintak pindah ke hospital swasta!"
Fuh! Siap ugut tu. Haha. Comel je tengok.
MENGAPA INGINKAN WAD KELAS PERTAMA?
Antara sebab paling popular kenapa depa nak 1st class adalah :
1. Depa bayar cukai GST. Tiada alasan paling agung melainkan alasan "mereka pembayar cukai".
2. Nak aircond. Wad biasa panas. Angin luar takda. Sesak.
3. Wad biasa busuk, kotor, banyak penyakit berjangkit.
4. Makanan tak sedap.
5. Taknak tandas kongsi
6. Ubat wad biasa terlalu murah, tak berkesan. Ubat wad 1st class mahal, sebab tu dia berkesan.
7. Tak layak duduk di wad biasa. Sebab salur darah dia mengalir darah YB dan Dato'. Kena duduk di 1st class.
8. Ada perlindungan insurans.
Tapi tak satupun yang menilai dari segi kesihatan dan perkembangan penyakit yang diri sendiri alami.
KELAYAKAN WAD KELAS PERTAMA
Tapi rata-rata bila ditanya tahu ke tidak syarat dan kelayakan seseorang tu untuk duduk di wad 1st class, hampir semuanya tak tahu. Malah, siap marah kita balik bila kita kata depa ni tak layak duduk di wad 1st atas sebab sekian-sekian.
Harini, jom kita tengok balik apa kelayakan pesakit untuk duduk di kelas pertama hospital kerajaan.
1. Stabil
Untuk seseorang pesakit melayakkan diri duduk di wad 1st class, perkara pertama sekali yang perlu adalah keadaan kesihatan yang stabil.
Stabil yang aku maksudkan ni bukan lah stabil tahap sembuh 100%. Kalau dah sembuh 100%, rasanya tak perlu dah duduk kat hospital pun. Boleh discaj balik rumah dah.
Stabil yang aku cakap ni adalah keadaan penyakit dia tu terkawal, tidak dalam keadaan kritikal dan membahayakan nyawa dia sendiri, dalam keadaan sedar (conscious and alert), ADL independent (mampu buat apa-apa tugasan tanpa pertolongan).
Ini adalah kerana, kat wad 1st class, pesakit akan ditempatkan dalam bilik masing-masing. Bilik ni terletak jauh dan terlindung daripada pandangan luar, termasuk kaunter jururawat. Yang macam dalam TV tu la. Selalunya bila pesakit nak apa-apa, depa akan panggil jururawat guna callbell, jadi jururawat tak perlu ada dengan depa 24 jam. Tapi kalau kot-kot jadi apa-apa kecemasan, jururawat dan doktor tak sempat nak attend (periksa) pesakit sebab bilik terlindung dan jauh.
Kalau kat wad biasa, kita ada satu partition (kubikel) untuk pesakit kritikal dan separa kritikal yang terletak betul-betul dihadapan kaunter jururawat, jadi mudah untuk perhati. Mudah la nak attend kalau ada apa-apa kecemasan. Sebab tu wad biasa akan guna konsep open ward (wad terbuka).
Kalau kat ICU, takyah cakap la. Satu staf jaga satu pesakit, kengkadang dua pesakit. Lagi mudah nak attend. Sebab tu dipanggil intensive care unit (ICU), unit rawatan rapi.
Sebab itulah selagi pesakit tu tak stabil, walaupun nampak je macam dah okey, dia tetap tak layak duduk dalam wad 1st class.
2. Budi bicara
Ada juga satu dua kes pesakit yang tak berapa nak stabil (tapi tak kritikal) dibenarkan duduk di wad 1st class atas budi bicara pakar.
Untuk pengetahuan anda, semua pesakit dalam hospital ni akan dibahagikan mengikut jenis penyakit. Pembahagian ini kita panggil sebagai jabatan / disiplin. Yang paling lazim sekali adalah disiplin perubatan (medical), pembedahan (surgical), tulang (orthopaedic), kajisaraf (neurologi), kanak-kanak (paediatric) dan banyak lagi.
Sebagai contoh, pesakit bernama Manap baru je lepas eksiden (kemalangan). Tulang kakinya patah. Dia kena buat operation letak besi dalam tulang dia. Keadaan dia agak teruk tapi tak kritikal. Dia pun dalam keadaan sedar. Dia dimasukkan ke wad biasa. Tapi Manap takmau masuk wad 3rd class. Dia mintak dimasukkan ke wad 1st class.
Disebabkan Manap di eksiden patah tulang kaki, secara automatiknya dia akan dimasukkan ke wad tulang (orthopaedic). Dan selalunya akan dimasukkan ke wad 3rd class lepas operation. Manakala wad 1st class selalunya diletakkan dibawah jabatan perubatan (medical). Jabatan lain takde 1st class. Sesetengah hospital je ade.
Maka, pendeknya, si Manap (dari orthopaedic) nak masuk wad 1st class (medical). Jadi adalah terletak pada budi bicara doktor pakar orthopaedic dan doktor pakar medical untuk bincang dan tentukan boleh ke tidak si Manap ni dimasukkan ke wad 1st class.
Sebabnya, Manap akan diletakkan dibawah jagaan doktor pakar orthopaedic walaupun dia duduk di wad medical (1st class). Kalau katakan apa-apa terjadi kat Manap, doktor pakar orthopaedic dengan team dia yang kena uruskan. Doktor pakar medical cuma bagi tumpang je. Ha, begitulah pendeknya.
Perkara ni sama jugak dengan pesakit yang duduk di wad medical biasa nak masuk 1st class (medical). Terpulang pada doktor pakar medical tu untuk benarkan ke tidak. Sebab kalau apa-apa jadi, dia yang kena bertanggungjawab.
3. Kekosongan wad 1st class
Satu perkara penting yang perlu kita tahu. Walau macam mana sekalipun kita desak untuk masuk wad 1st class, sama ada panggil wakil rakyat sekian-sekian ke, atau buat surat rungutan kat pengarah hospital ke, atau ugut nak pi hospital swasta ke, selagi tak ada kekosongan katil kat wad 1st, jangan harap nak dapat.
Katil kat wad 1st class tu limited. Kalau dah penuh, paksa macam mana sekali pun takkan dapat jugak. Dah penuh. Takkan nak masuk 1st class lepastu bentang toto kat lantai je kot? Takkan nak tendang pesakit lain keluar dari wad 1st class semata-mata demi hangpa? Depa pun ada hak jugak kan.
4. Jika mampu
Seperti yang kita tahu, wad 1st class yang lengkap dengan aircond, sinki sendiri, almari / laci sendiri, meja sendiri, tandas sendiri, makanan mewah boleh demand, servis boleh demand, semuanya menggunakan kos yang tinggi.
Jadi dengan kos yang tinggi, maka bayaran pun tinggi. Adil la kan. Benda nak mahal, bayar mahal la. Maka, harga untuk menginap kat 1st class berbeza dengan wad biasa. Jangan terkejut kalau aku cakap, harga wad 1st class satu katil sebilik berhawa dingin boleh cecah 26 kali ganda lebih mahal daripada wad 3rd class, dengan 2,667% peningkatan.
Harga kini untuk satu katil sebilik berhawa dingin adalah RM80/hari, dibandingkan dengan RM3/hari bagi wad biasa. Pada sesetengah orang, mungkin murah je RM80 tu. Celah gigi pun boleh lepas. Tapi kalau dah duduk wad seminggu, dah RM560. Tu baru caj penginapan, belum caj rawatan, prosedur, ujian dan lain-lain.
Ceritanya, kalau mampu, apply. Kalau tak mampu, duduk wad 3rd class pun boleh sembuh. Jangan dok apply pi wad 1st class dengan lagaknya, lepas seminggu balik ke wad 3rd class balik sebab tak cukup duit. Membazir.
Lagipun, sebelum pi wad 1st class, kena duduk wad 3rd class dulu untuk pemerhatian. Kalau nak apply wad 1st class, kena bayar habis dulu bil tertunggak kat wad 3rd class tu, baru boleh pindah. Satgi yang wad 3rd class pun tak habis bayar, dah nak tambah beban nak duduk di wad 1st class.
Kalau ada coverage insurans sekalipun, baik simpan untuk bayar kos perawatan daripada habiskan semata-mata nak duduk bilik ber-aircond aje. Tak de la membazir.
Jadi, fikir-fikirkan lah yang mana hangpa nak. Tak halang, tapi tak cadang.
PERBEZAAN ANTARA KEDUA-DUA WAD
Perbezaan antara wad 1st class dan 3rd class sebenarnya tak banyak pun.
Perbezaan :
i) Wad 1st class ada bilik berasingan. Ada yang satu katil. Ada yang 2 katil satu bilik. 4 katil sebilik pun ada. Dan bilik pulak private, tertutup. Berbanding wad biasa, open ward. Satu wad mencecah 70 orang sehari. Dibahagikan dalam 5 kubikel, mengikut keterukan. Yang paling ok, duduk paling hujung. Yang teruk, duduk depan kaunter.
ii) Toilet di 1st class tak perlu share. Toilet kat wad 3rd class kena share. Tapi belum sampai tahap kena beratur lagi.
iii) Wad 1st class ade aircond. Nyaman. View cantik. Wad 3rd class busuk, sesak, usang, berhabuk, dsb. Layak untuk mereka yang mampu hidup tanpa aircond. Bukan untuk calang-calang orang. Yang lemah tanpa aircond, kena pi wad 1st class, kalau tak dia akan dijangkiti penyakit manjalitis tak habis.
iv) Makanan di wad 1st class boleh demand. Nak telur rebus? Boleh. Nak mee rebus? Boleh. Nak belacan rebus? Siap. Makan dalam pinggan kaca. Baru ummph. Makanan kat wad 3rd class cikai je. Makan ramai-ramai serentak. Air kosong je. Tapi yang kencing manis, makan kat mana pun tetap tawar.
v) Doktor lebih kerap buat round kat wad 3rd class sebab pesakit kat sana teruk belaka. Yang kat wad 1st class tu dilambatkan pun takpe. Depa stabil.
Persamaan :
i) Ubat kat wad 3rd class same je dengan ubat di wad 1st class. Tak ade beza pun. Tak ada istilah ubat di wad 1st class lebih berkesan berbanding dengan ubat wad 3rd class. Sebab ubat dari dua-dua wad datang dari syarikat yang sama melalui farmasi yang sama. Yang membezakan cuma siapa yang order je.
ii) Prosedur di wad 1st class same je dengan wad 3rd class. Cara mandi sama, cara berus gigi sama, tukar cadar pun sama, feeding pun sama, CPR pun sama. Tak ada beza pun. Cuma di wad 3rd class, prosedur dia lagi power, lagi extreme, lagi mencabar minda dan fizikal.
iii) Proses admission (daftar) dan discaj kedua-dua wad, same je. Sama lambat, sama cepat. Cuma kengkadang, disebabkan kena tunggu di suasana wad 3rd class yang buruk, menyebabkan orang tu rasa lama je nak discaj. Tapi kalau kena tunggu dalam bilik beraircond dengan TV, rasa kejap je.
Harap lepas ni, dengan penerangan ala kadar ni, kita semua dapat nilai balik, layak atau tidak kita diberikan servis wad 1st class di hospital kerajaan. Takde maknanya nurse malas nak pindahkan hangpa ke wad 1st class. Kalau boleh, lagi banyak pesakit ke wad 1st class lagi bagus. Beban kerja pun kurang. - Anwari Hamzah
Post a Comment