Header Ads

"Kau Tak Suka Rumah Kotor, Kau Berambus! Ini Rumah Mak, Kau Tu Menantu Menumpang Je Rumah Orang"




Saya ada seorang kawan perempuan, Liza (bukan nama sebenar). Baik orangnya. Dan dia dah berkahwin hampir 3 tahun, tapi belum sampai lagi rezeki nak ada anak. Gugur dah berkali kali, sebabnya STRESS MELAMPAU.

Mana tak stressnya kalau duduk sebumbung dengan mertua dan ipar duai? Bagi yang ada mertua yang baik, alhamdulillah dan tahniah saya ucapkan. Tapi bagi kes Liza ni, mengucap panjang saya bila saya tau punca dia berubah menjadi murung. Sedangkan Liza ni seorang yang sangat periang dan positif orangnya.

Liza pindah ke rumah mertua dia sebab suami Liza bergaji kecil dan tak mampu nak sewa rumah lagi. Liza pon terima dengan hati terbuka. Masa mula mula Liza bernikah, segalanya alhamdulillah elok belaka.Tapi lama kelamaan, semuanya berubah. Bermula dengan kakak ipar dia fitnah dia suami isteri mandul. 


Puncanya sebab Liza tak mengandung lagi lepas sebulan menikah. Tapi Liza diam, dia telan sendiri fitnah tu. Hari hari Liza ditekan pasal anak, sampai mertua dia suruh ambik anak angkat. Semuanya Liza diamkan. Pergi kenduri, semua heboh cakap pasal Liza mandul. Sampai satu hari tu Liza mengandung dan keguguran, semuanya terdiam. Tapi takde sorang pon mintak maaf kat Liza. Itu baru perangai mulut ipar duai. Belum lagi perangai mertua dia.


Liza ni memang saya akui, dia sangat pembersih dan ringan tangan. Kalau orang lain pakai mop lantai, Liza sental guna span dan kain basah. Berkilat lantai dibuatnya. Dan Liza ni jenis yang sangat tak berkira bab kerja rumah. Tapi malangnya bagi Liza, seluruh keluarga mertua dia pemalas dan pengotor. Masa Liza cerita bahagian ni, saya menangis semahu mahunya. Tabahnya Liza, kuatnya Liza dengan ujian ni.

Masa Liza pindah masuk tu, rumah tu macam tak berpenghuni. Lampu, kipas, lantai, dinding semua berhabuk dan berkerak. Pijak lantai je kaki dah hitam. Pinggan mangkuk yang berisi makanan basi berkulat bersepah sana sini. Dapur? Penuh dengan sampah berulat. Singki sampai berlumut dan tersumbat. 

Sedangkan saya yang mendengar pon geli, apatah lagi Liza yang melihat. Tapi bagusnya Liza ni, dia diamkan je. Esoknya, Liza mula bersihkan rumah teres 2 tingkat mertua dia tu, bermula dari ruang tamu depan sampai ke dapur. Memanjat sana sini bersihkan lampu dan kipas. Lap perabot yang bersawang. Sepanjang hari dihabiskan dengan mengemas luar dan dalam rumah, SEORANG DIRI.


Mertua dan ipar duai dia cuma goyang kaki. Jalan ke hulur ke hilir tanpa bantuan sedikit pon. Yang menyakitkan hati, dah la tak tolong kemas. Bila dah elok lawa, bersepah semula. Dan sepah sesepah sepahnya. Dalam masa tak sampai sejam boleh bersepah teruk semula! Berbulan bulan Liza diamkan dan berulangkali mengemas kesepahan yang sama. 

Tiap kali kemas, mertua dia akan sepahkan. Tinggalkan pinggan atas sofa, plastik makanan selit celah sofa, sisa makanan bersepah atas lantai, air tumpah dibiarkan dan sepah seteruk teruknya.

Macam tu la rutin Liza setiap masa, sampaikan beberapa kali Liza dikejarkan ke bahagian Kecemasan sebab kekejangan otot dan sesak nafas. Sayangnya, mertua dia sikit pon tak peduli. Yang datang bertanya khabar cuma ayah mertuanya yang dah lama bercerai dengan mak mertuanya.


Dan paling menyayat hati bila tetamu datang ke rumah, nak nak lagi keluarga mak mertua Liza yang datang. Semuanya puji kerja Liza, sebab semua dah masak sangat dengan tahap kemalasan dan kekotoran rumah tu. Tapi bukan mak mertua dia.

“Aku sekarang ni dah senang. Ada TUKANG MASAK dengan TUKANG KEMAS. Jimat duit aku tak payah gajikan orang dapat menantu macam ni.”

Tersentak semua tetamu yang ada. Sampaikan ada yang tegur kelancangan mak mertua Liza. Tapi Liza senyum je. Saya tak tau la Liza ni manusia hati jenis apa, sedangkan saya yang dengar ni pon tau nak naik darah.

2 tahun lebih jugak Liza bersabar dengan kerenah mertua dia tu. Semua yang Liza masak sekarang ni, semuanya serba tak kena kat mertua dia. Sedangkan ipar dia semuanya cakap masakan Liza ni sedap. 

Liza ni istimewanya masakan dia, dia masak dengan kasih sayang. Dia tak berkira pon bab duit untuk makanan bersama. Dan apa yang ipar dia mintak, semua dia turutkan. Semuanya guna duit dia dan suami dia. Mertua dia? Masak takde rasa (saya dah pernah rasa) dan suka mencatu makanan kat anak anak sendiri. 

Sebab tu anak anak dia lebih selesa dan suka masakan Liza. Tapi setiap kali mertua dia jamah makanan dia, dia akan buang serta merta ke tong sampah. Alasannya tak kena dengan selera dia, padahal Liza masakkan lauk yang mertua dia selalu beli kat luar. Dan setiap kali dia buang makanan, dengan ketawa bangganya dia bercerita pembaziran dia kat semua orang.


Mulanya saya tak percaya dengan cerita Liza. Mana mungkin seorang mertua sanggup perlakukan menantu macam tu sekali. Sampailah saya ambil keputusan untuk melawat Liza secara mengejut (kebetulan saya ada kerja kat sekitar perumahan mertua Liza). 

Liza pon macam serba salah nak pelawa saya masuk, tapi disebabkan mertua dia berkeras suruh saya masuk, Liza pon mengalah. Masuk masuk je rumah tu…. Masya Allah, Allahu Akbar. Segala deria saya sakit. Bau sampah, bersepah sana sini. Semua yang Liza ceritakan tu betul belaka.

Dan menakjubkan, mertua dia dengan bangganya bercerita betapa bangganya dia ada tukang masak dan tukang kemas macam Liza yang tak perlu berbayar, modalnya cuma nikahkan anak lelaki je katanya.


Lepas tu saya mintak izin suami Liza untuk bawak Liza berjalan sekejap. Dalam kereta tu la Liza hamburkan semua yang terbuku di hati. Teresak esak dia menangis. Tak pernah saya nampak Liza selemah dan menangis seteruk tu. 

Dan katanya, baru baru ni dia terhilang sabar lepas keguguran. Dan dia mintak jasa baik semua ahli keluarga dalam rumah tu untuk sama sama jaga kebersihan. Tapi tau apa yang Liza dapat?


“Ni rumah mak, kau tu menantu menumpang je. Sukahati aku la nak sepahkan rumah ni. Tikus ke ular yang masuk, kenapa kau yang kisah? Satu sen pon tak bayar kat aku, ada hati nak bebelkan kebersihan. Kau tak suka rumah kotor, kau berambus. Anak aku biar duduk sini, kau berambus duduk dengan mak ayah kau.”

Tak tahan dengar luahan dia, saya peluk Liza kuat kuat. Dia memang penyabar. Dan dia bukan jenis burukkan orang walau seburuk mana pon layanan orang kat dia. Tergamaknya mertua dia cakap macam tu kat dia. Ipar duai pon seronok la bertepuk tangan jadi batu api. Sekarang ni, mertua dia pandang dia pon tak nak. Yang ada suami je yang setia mendengar dan menyabarkan.

“Liza cuma mintak tolong jaga apa yang Liza dah kemas je. Liza penat, setiap hari kaki bengkak mengemas itu ini. Doktor pakar pon dah nasihatkan untuk berehat. Liza takde anak, orang mengata. Liza nak cuba pregnant, awak nampak kan rumah tu macam mana? Ada masa Liza cuba keraskan hati tak nak kemas tu semua, tapi tak boleh. 

Liza tak boleh tengok sepah. Nak pindah keluar, kesian kat suami Liza. Liza ni selalu sakit, suami tak bagi kerja. Kalau tak, Liza nak sama sama tampung beban dia. Sebab kebersihan je mertua nak halau Liza, cakap Liza tak bayar apa kat dia. Takkan Liza nak ungkit setiap sen duit Liza belanjakan untuk makanan anak anak dia, kan dosa tu?”


Lama saya biar Liza luahkan rasa. Dari pengamatan saya, memang mertua Liza ni agak kaya. Rumah besar, cantik renovated, kereta mewah. Tapi itu bukan alasan untuk mendera dan menganiaya anak orang. Ceritanya dah pergi haji dan umrah berkali kali, tudungnya labuh sekali. 

Tapi Allah uji dengan akhlaknya macam tu sekali. Mengucap panjang saya bila terkenangkan Liza. Betapa beratnya ujian yang Allah berikan kat Liza, sampaikan saya sendiri tak mampu nak membayangkannya.


Tapi mungkin itulah kelebihan Liza, dia penyabar. Dan saya yakin, Allah uji Liza sebab Allah tahu hatinya seteguh karang. Saya tak tau la apa yang akan saya buat kalau saya kat tempat Liza. Dihalau dan dihina hanya kerana mementingkan kebersihan? Allahu Akbar. Menangis saya dengar. 

Dan betapa kagumnya saya pada Liza, takde satu pon penderitaan dia kat rumah mertuanya diceritakan kepada emak ayahnya di kampung. Semuanya dia simpan sendiri dengan suami. Dan sayalah orang pertama yang tahu derita dia. Dan hebatnya Liza, dia masih mampu bertahan kat rumah mertua dia sampai hari ni. 

Kenapa? Sebab tanggungjawab dan ketaatannya pada suami. Walaupon suaminya masih belum mampu menyediakan rumah untuk mereka, Liza masih sanggup bersabar dan bersusah senang dengan suaminya.


Dan terbaru, saya ziarah Liza sekali lagi 3 hari lepas. Liza baru sampai dari kampung selepas balik kampung selama lebih kurang 2 bulan kat Pahang. Melangkah masuk je, bau kencing tikus sangat kuat. Dan saya pandang Liza yang macam biasa tersenyum. Cepat cepat saya ajak Liza keluar. 

Katanya mertua dia baru balik dari berjalan, sebulan lebih mertuanya ke Perlis melawat saudara. Dan rumah sangat bersih sepanjang ketiadaan mertua dia. Cuma bila mertuanya balik 2 minggu lepas, semuanya bersepah semula. Dan suami Liza bagitau tikus berkeliaran dalam rumah sejak dari tu.


Saya pandang muka Liza dalam dalam. Kesian. Simpati mencanak canak naik. Dah la baru lepas pembedahan, balik balik je rumah dah ada tikus. Mengucap panjang saya.

“Liza dah tak tau nak buat apa dah awak. Suami Liza tu siang malam kerja, dia tak mampu nak kemas semuanya. Biarlah dorang dengan cara dorang. Cuma Liza harap Liza suami isteri terpelihara dari sebarang penyakit tikus. Dorang nak kena penyakit, biarkan. Selayaknya dorang yang kena penyakit tu, sebab dorang pengotor.”

Terkejut saya dengar. Tak pernah Liza sekasar tu. Dan tak pernah lagi dia mendoakan perkara yang buruk untuk orang lain. Saya kira kesabaran Liza dah hilang. Dan agak menakutkan bila Liza mengucapkan ayat tu sambil tersenyum sinis…….. Hanya Allah sahaja yang tahu apa yang bermain di fikiran Liza masa tu.

Tujuan saya meluah ni, bukanlah nak memburukkan keluarga mertua Liza. Dan bukanlah untuk membuka ruang kepada komen komen negatif. Tapi untuk kita sama sama ambil iktibar berdasarkan cerita Liza ni. Dan harapan saya, kalau ini dibaca oleh ahli keluarga mertua Liza, saya mohon seikhlas hati, semoga anda semua berubah. Hari ni kita buat orang, percayalah, esok lusa orang akan buat kita semula. Sama ada sama rata atau lebih teruk lagi daripada apa yang kita buat kat orang.

Dan untuk Liza,

Bersabarlah awak. Saya tau awak kuat. Allah tau awak kuat. Percayalah, takde satu pon kejadian tu berlaku dengan sia sia.


No comments

Note: only a member of this blog may post a comment.

Powered by Blogger.