Murid Teruk Dirotan, Kakak Dakwa Guru Tuisyen Dera Adiknya
Dipercayai dirotan dan didera dengan perkakas panas oleh guru tuisyennya, seorang murid Tahun Satu cedera dan melecur di punggung.
Memetik laporan Bernama, kakak kepada murid itu berkata adik lelakinya dikatakan diperlakukan sedemikian oleh guru wanita itu akibat nakal dan tidak mahu menyiapkan kerja sekolah.
“Saya dimaklumkan mengenai kejadian ini oleh sepasang suami isteri yang merupakan jiran guru tersebut, kira-kira 5 petang semalam dengan mengatakan adik saya melarikan diri dari rumah guru berkenaan lalu bersembunyi di rumah mereka."
Wanita berumur 24 tahun itu yang merupakan peniaga makanan berkata demikian pada sidang media yang diatur Anggota Dewan Undangan Negeri Pengkalan Rinting, Cheo Yee How, Kelmarin.
Menurutnya, adiknya yang bersekolah di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Johor Bahru, dihantar ke pusat tuisyen berkenaan sejak Disember lepas dan kemudian tinggal di rumah guru tersebut sejak dua minggu lepas.
Lim berkata adiknya yang disahkan melecur tahap dua kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah dan dia membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Sentral, Johor Bahru kira-kira 10 malam kelmarin.
“Tujuan saya membuat laporan itu kerana mahu guru tersebut dikenakan tindakan undang-undang. Saya ada menghubunginya menerusi telefon bimbit untuk berjumpa, namun, dia memberikan alasan sedang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur."
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Mohd Taib Ahmad ketika dihubungi berkata polis sudah menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes tersebut.
Post a Comment