"Nampak Saja Macam Keluarga Harmoni Tapi Sebenarnya "Bermain Politik Keluarga"
Assalamualaikum
Nama aku Laila (bukan nama sebenar). Aku rasa obvious…bila cerita sedih menantu ni, mesti menantu perempuan. Menantu lelaki kadang duduk terkangkang depan tv main phone pun ok je, asal gaji besar je kira menantu contoh dah. Haha. Sorry aku tahu tak semua mertua macam tu…buat lawak hambar je.
Ni kisah aku…yang tak ada tempat lain nak luahkan sebab aku dah bertaubat dari mengumpat mertua aku. Yang dah terlepas sebelum ni tak dapat aku nak undur masa lagi…
Aku ditakdirkan berkahwin dengan seorang lelaki pilihan sendiri yang datang dari keluarga yang sangat berbeza dari keluarga aku. Keluarga aku memang jauh dari sempurna…mak dan ayah yang selalu bertengkar, bila ayah hantar aku pergi sekolah, sepanjang perjalanan dia akan buruk-burukkan mak aku dan keluarga mak aku, sumpah seranah mak aku.
Aku membesar dalam keadaan dan tabiat di mana aku selalu pekakkan telinga dan mengelamun dalam dunia aku sendiri. Ini defense mechanism aku, cara aku lindungi hati dan jiwa aku dari memberontak.
Ayah aku memang jenis jimat. Sangat-sangat jimat. Aku tak sampai hati nak cakap lebih-lebih sgt sebab ayah aku dah tak ada lagi…cukup aku nak korang faham yang aku datang dari keluarga yang jimat. Sangat-sangat jimat. Hmmm dah faham ke? Hehe.
Aku tak di ajar untuk selalu beri duit pada orang sakit, pada anak kecil. Tak di ajar untuk selalu bawa buah tangan bila melawat orang…keluarga aku ni bukanlah sangat kedekut…tapi. tapi macam…sangat-sangat jimat. haha.
Maksud aku, bukanlah sampai kedekut yang jahat tu, you know? Cuma tahap yang macam…tak thoughtful dan sensitif tentang kesusahan orang lain. Kebanyakan masa fikir keperluan sendiri dan tidak sesekali mengutamakan keperluan orang lain.
Keluarga aku jugak jenis simple, logik dan praktikal.
Contoh:
“Nak makan sini?” “Nak”
-setel-
Contoh lagi:
Ada orang sakit tengah, malam, kena pergi emergency kat hospital. Hanya 2 orang yang paling sihat dan kurang komitmen akan pergi, sorang teman pesakit, sorang jadi runner/driver.
-setel-
Aku kahwin dengan seorang lelaki Melayu yang datang dari keluarga kecil yang sangat rapat sesama mereka. Even dengan sepupu mak sedara bapak sedara semua rapat. Aku sangat kagum dan sangat gembira bila aku tengok suami aku dan adik beradiknya semua orang yang konfiden dan pandai bawa diri dengan masyarakat, hasil didikan hebat dari mertuaku masyaAllah.
Tapi aku tidak tahu, keharmonian keluarga mereka itu datang dengan satu harga: semua orang mestilah sentiasa “bermain politik”; menjawab dengan bahasa dan jawapan yang betul apabila ditanya, sentiasa memberi hadiah dan duit dan membelanja satu sama lain, menghadirkan diri pada setiap majlis, dan sebagainya.
Mereka juga keluarga yang lebih berdasarkan emosi dan intuitive, lebih menjaga hati orang dan lebih beradab.
Contoh:
“Makanlah disini malam ni” “Eh tak payah lah, susahkan saja”
“Eh jangan macam tu, makan sini saja, nanti lewat pula makan” “Takpe takpe, kami dah nak balik pun ni”
“Makan sini saja lah…nasi dan lauk memang ada lebih ni” “Oh..ok lah macam tu hehe terima kasih ya”
-baru setel. kalau tanya sekali je, maksudnya tak ikhlas-
Contoh lagi:
Ada orang sakit, tengah malam, kena pergi emergency department di hospital
Semua orang mesti kena pergi termasuk yang ada anak kecil (ini adalah satu unspoken rule…sapa yang tak pergi, macam dia ni tak pedulikan orang lain dan akan lebih senang dipandang serong atau “bermarkah rendah” dalam politik keluarga, walaupun ada alasan seperti anak kecil sudah mahu tidur)
Semua orang mesti kena tunggu di sana sampai lewat pagi, sehingga lah orang tua cakap tak payahlah tunggu lagi, susahkan saja dan esokkan mahu kerja dan anak mahu ke sekolah.
-baru setel. siapa yang masih stay lagi lepas tu, markah lebih-
Di awal perkahwinan, kerana latarbelakang keluarga yang berbeza, aku memang sangat2 struggle. Aku memang tension bila mertua datang….bukan sama sekali kerana aku tak suka mereka. Tapi aku tertekan, tertekan memikirkan dan mengatur setiap langkah dan tutur kata aku supaya tidak menyinggung mereka.
Ada sekali tu bapak mertua aku datang…aku tanya “Walid nak air tak?” “Tak payahlah…” jawab Walid. Sudahnya selepas itu suami aku menegur aku, katanya tak boleh tanya itu. Kena tanya “Walid nak air apa? teh / kopi / milo?” supaya pilihan jawapannya adalah semuanya positif nak air, instead of pilihan jawapan yang positif atau negatif (nak air atau tidak) — ehh…orang faham ke tak aku cerita ni.
Ada juga masa yang mereka kecil hati kerana aku tidak bersalam dengan mereka sejurus selepas aku sampai kerumahku sepulangnya dari kerja, masa mereka datang melawat (mereka kerapkali datang melawat kerumahku).
Sebenarnya aku kerja sebagai seorang doktor dan aku tidak suka terus bercampur gaul dengan orang sepulangnya dari kerja kerana aku rasa diriku penuh dengan kuman dan bakteria…aku kena mandi dulu. Tapi aku pujuk hati…kata ini salah aku, aku tak pernah terangkan pun pada mereka. Mereka orang tua, senang terasa.
Suamiku juga pernah menegur aku sebab aku daydreaming semasa sedang beramai-ramai di rumah atuknya. Tak tumpukan perhatian pada conversation orang lain, dan tak sedar orang sedang bertanyakan aku soalan. Huhu. Bukan senang nak ubah tabiat yang sudah sebati dalam jiwa aku dari umur 5 tahun…Allah saja yang tahu apa yang aku lalui dulu.
Sudahnya aku memang jadi stress…setiap kata dan mimik mukaku aku perlu fikir, setiap tingkah aku harus telitikan – kerana aku tidak pernah dididik untuk semua ini, jadi ia tidak datang secara natural kepadaku. Semuanya perlu ditegur, diajar dan dididik oleh suamiku.
Alangkah senangnya hidupku kalau aku memang seorang yang berhati mulia, pandai bermanis kata dengan orang tua, dan juga sangat thoughtful dan sentiasa memikirkan orang lain. Semua ini hanya dapat aku lakukan dengan usaha yang gigih…….mungkin korang takkan faham, entahlah. Mungkin orang akan fikir, apeke susahnya sangat nak buat semua tuuu Laila oooiiii…….
Akhirnya setelah 3 4 tahun aku berkahwin semuanya menjadi lebih mudah untuk aku, alhamdulillah.
Nak dijadikan cerita mertua aku datang kerumahku baru baru ini. Masa ni kerja aku lebih flexible dari dulu. Aku raikan macam biasa, sebab dah bertahun kahwin jadi aku sudah tidak janggal dengan kehadiran mereka. Aku tak ingat mereka datang berapa hari…3 atau 4 hari mungkin. Masa ni kerjaku sangat banyak, tapi aku tangguhkan dulu, sebab takut mereka rasa aku tak hargai kehadiran mereka. Haha…aku memang masih takut-takut juga…
Malam hari ke 3 mereka dirumah, Walid bagitahu malam ni mereka sudah mahu ke rumah anaknya yang lagi satu. Aku menarik nafas lega (antara masalah paling bodoh aku hadapi adalah semua perasaan aku akan tertera di wajahku) kerana kerjaku yang sudah amat banyak tertangguh. Tapi suamiku berkata “Ehhh…jangan lah. Duduk la sini lagi, esok Angah bagi kunci rumah. Nanti Walid dengan Ummi nak balik, tinggal je kunci dalam post box.”
Jujur aku cakap, masa ni muka aku berubah. Sebab
1. Aku baru ingat nak pulun habiskan kerja yang menimbun
2. Suami aku ni cakap macam tu, macam la aku ni tak ada untuk balik waktu tengahari, dan let my in laws out kalau mereka nak keluar tak sempat tunggu kami balik dari kerja di petang harinya
Tapi BUKAN SAMA SEKALI sebab aku rasa “hisyyy nak duduk sini lagi ke!” Bukan. Bukan.
Keesokannya aku pergi kerja macam biasa…aku dah setkan nak buat kerja urgent sahaja harini. Tengahari balik untuk belikan makanan untuk Walid dan Ummi. Malangnya kerana kerja aku yang sgt banyak tertunda…dalam pukul 2 lebih baru aku boleh gerak untuk balik. Itu pun dengan keadaan kepala serabut sebab masih sangat banyak kerja.
Aku call Walid. Tak angkat. Call Ummi. Tak angkat. Ulang-ulang-ulang lagi…tak angkat-angkat. Hati rasa tak sedap. Kenapa pulak ni.
Hampir sampai di kedai makan, akhirnya Ummi angkat panggilan aku.
“Salam Ummi…Laila dah nak sampai kedai makan. Ummi mahu makan apa tengahari, Ummi belikan. Dekat je dgn rumah ni…nanti Laila hantarkan.”
“Tak payahlah…Walid dengan Ummi sudah siap untuk keluar.”
“Hah?? Ummi nak pergi mana? Takpalah Ummi Laila belikan makanan kejap, Ummi tunggu ya. Ummi nak makan apa”
“Tak payah lah Laila, memang dah siap nak keluar dah ni”
“Ummi nak kemana?”
“Ke Sunway Putra Mall. Makan di sana”
“Oh…..ok lah kalau macam tu”
Aku rasa bingung. Kenapa pulak tiba-tiba mereka nak ke mall dan makan disana sedangkan jam dah 2.30 petang, aku boleh je belikan makanan sekarang, cepat sikit boleh makan dulu sekejap. Ada juga rasa sakit hati sikit sbb kalau tahu macam ni, tak payah lah aku balik tengahari ni, dan boleh siapkan kerja.
Walaupun selepas itu Ummi macam dingin terhadap aku, aku buat macam biasa saja sebab tiada siapapun yang cakap apa salah aku bila aku bertanya. Jadi aku putuskan untuk buat macam biasa. Akhirnya Ummi kembali macam biasa dengan aku.
Beberapa minggu selepas itu aku ada kursus di Langkawi. Suami aku berkeras nak ikut, aku ok je. Lepas tu tiba-tiba dapat tahu mertua aku ada di Kuala Lumpur masa tu, jadi suami aku terus ajak mereka ikut sekali. Aku ok je (ye la tu haha, padahal takut).
Setibanya di Langkawi, walaupun aku ada sedikit rasa gemuruh, takut ada lagi aku tersilap kata atau tersilap muka atau tersilap laku. Tapi aku buat yang terbaik yang aku mampu. Belanja makan. Senyum selalu. Layan mereka bercerita. Aku rasa….sangat bahagia. Aku rasa, macam akulah menantu yang bertuah sebab dapat mertua yang baik begini.
Aku ikhlaskan hati aku dan aku redha…walaupun aku tak dapat nak “networking” semasa berkursus, hanya dapat hadiri kursus hakiki sahaja lepas tu terus balik hotel dan join keluarga jalan-jalan, sebab aku tak nak mertua aku fikir aku terlalu pentingkan karier.
Aku rasa macam aku dah datang sangat jauh dari aku yang dulu, yang bodoh-bodoh saja dan tak tahu membawa diri dalam keluarga mertua.
Sepulangnya dari Langkawi aku rasa lega. Aku rasa…wah, akhirnya aku berjaya reach a place where I’m comfortable being in my own skin with my in laws. Malam tu, suami aku pandang muka aku. Dia senyum. Aku tahu ini kenapa…mesti ada benda nak tegur aku. Aku telan air liur yang terasa pahit.
“Sayang…sayang kena kawal riak muka bila dengan Walid dengan Ummi. Sayang tahu tak…sayang pernah buat Ummi menangis?”
Aku hanya mampu terdiam.
“Ummi beritahu abang semasa di Langkawi, yang muka sayang berubah masa abang tawarkan untuk tinggalkan kunci di rumah for Ummi dan Walid to let themselves out haritu. Muka sayang macam tak suka. Walid pun nampak. Ummi keluar rumah dengan air mata hari tu…pergi duduk di Sunway Putra Mall tu tak ada buat apa sampai pukul 7 petang, tunggu Along balik kerja.”
Ya Allah aku rasa dunia aku macam runtuh. Hati aku hancur, hancur sehancurnya. Aku ingat sepulangnya dari Langkawi hubungan aku dengan mertua akan semakin baik…tapi rupanya masa di Langkawi Ummi sempat mengadu pada suamiku tentang kisah yang entah berapa bulan yang lalu.
Aku rasa macam…aku takkan pernah cukup dan takkan pernah jadi good enough untuk keluarga ini, no matter how hard I try. Hati aku menangis semahu-mahunya.
Untuk mertua-mertua di luar sana, tolong lah. Aku tahu aku hanya perempuan muda yang belum cukup makan garam. Siapalah aku untuk menasihatkan yang lebih tua. Tapi…..aku percaya kamu semua pun tahu, anak kamu tidak sempurna. Juga ada cacat celanya, yang isterinya terima dengan seadanya.
Anggaplah menantu sama seperti anak sendiri……….maafkanlah kekurangan mereka yang sekali sekala timbul. Mereka juga manusia.
Manusia yang dibesarkan selama lebih 20 tahun dengan ibu bapa yang lain dari kamu, sejarah dan kehidupan yang lain dari keluargamu. Janganlah hancurkan hatiku dengan senyum didepanku tetapi mencelaku dibekalangku,
Hanya kerana aku seorang menantu.
Post a Comment