Sebelum Beri Anak-Anak Gajet Pastikan Ibu Bapa Ikuti Garis Panduan Ini
Pada zaman kini, sudah menjadi satu kebiasaan ibu bapa memberi anak-anak mereka telefon pintar atau tablet sebagai salah satu cara untuk mendiamkan anak-anak mereka.
Namun begitu terdapat beberapa pendapat yang tidak bersetuju dengan cara ibu bapa sekarang yang dianggap mengambil jalan ringkas untuk mententeramkan anak-anak.
Pun begitu, pemberian gajet kepada anak-anak sebenarnya tidaklah salah tetapi perlulah mengikut beberapa garis panduan yang boleh diikut setiap ibu bapa.
Perkongsian dari Hafiz Sulaiman mengenai pemberian gajet seperti yang disarankan oleh American Academic of Paediatric (AAP) semoga dapat dimanfaatkan bersama.
Sudah bertahun lamanya American Academy of Paediatric (AAP) mengesyorkan kanak-kanak di bawah usia 2 tahun tidak didedahkan langsung kepada media elektronik dan gajet seperti telefon, komputer, tablet dan juga televisyen. Tahun lalu, AAP mengeluarkan garis panduan baharu yang lebih realistik mengambil kira kemajuan teknologi kian pesat.
Antara rekomendasi AAP:
1) Anak-anak di bawah usia 18 bulan:
- Elakkan media skrin
2) Anak-anak usia 18-24 bulan:
- Pilih program kualiti tinggi
- Ibu bapa perlu menonton bersama dan membimbing anak-anak berkenaan kandungan tontonan.
3) Anak-anak usia 2-5 tahun:
- Hadkan sejam sehari program berkualiti tinggi.
- Tonton bersama anak-anak dan fahamkan mereka serta aplikasikan kepada dunia sebenar.
4) Anak-anak melebihi 6 tahun:
- Letak had masa dan jenis media yang ditonton.
- Pastikan media tidak mengganggu waktu tidur, aktiviti fizikal dan apa-apa aktiviti yang penting untuk kesihatan.
5) Bina waktu bersama tanpa media elektronik seperti sewaktu makan malam, memandu dan juga lokasi bebas media elektronik seperti bilik tidur.
6) Penerangan berterusan mengenai tatacara pengguna atas talian (online) seperti keselamatan dan juga menghormati warga online dan juga diluar talian (offline).
Penting untuk diambil perhatian ialah walaupun lanskap media berubah senantiasa seiring dengan kemajuan teknologi, cara didikan keibubapaan yang sama masih terpakai. Ibubapa memainkan peranan penting mengawal dunia media anak-anak sebagaimana pendidikan diluar skop media. Ia sangat penting supaya penggunaan media dapat dimanfaatkan supaya memberi kesan positif kepada anak-anak.
Post a Comment