Dafi Dedah Dirinya Kaki Ponteng Puasa....
Terasa bagaikan tidak lengkap sambutan Ramadan jika kita tidak terkenangkan detik berpuasa ketika kanak-kanak dulu.
Ponteng puasa, curi minum air paip, curi makan di dapur, pasang pelita panjut keliling rumah dan bermain mercun sehingga terbakar jari, pastinya antara kenangan yang sukar dilupakan.
Itulah kenangan abadi yang pernah dilalui Dafi Ismail, 28. Setiap kali dia teringatkan cerita dulu, dia akan ketawa sendiri.
“Masa itu saya darjah lima, badan saja montel tetapi tak larat puasa. Bangun sahur tetapi belum tengah hari perut dah berbunyi.
“Takut orang nampak, saya curi minum air paip dalam tandas. Tahanlah juga sampai waktu berbuka.
“Sekarang apabila ingatkan balik kejadian itu, terus geli tekak,” katanya sambil ketawa.
Ujar Dafi lagi, zaman kanak-kanak memang thrill dan dia merinduinya.
“Jika masa lalu boleh diulang, saya mahu melalui detik itu semula. Masa itu tak fikir apa, tahu nak seronok saja. Saya memang ‘kaki’ ponteng puasa tetapi jarang miss pergi ke bazaar Ramadan.
“Bermain mercun sampai seminggu kebas tangan. Budak-budak sekarang tak merasa itu semua. Bazar Ramadan pun tak meriah macam dulu,” katanya
Jelas Dafi dia beruntung kerana dapat rasa jadi ‘budak kampung’ kerana bapanya berasal dari Temerloh, Pahang dan walaupun ibunya dilahirkan di Batu 9, Cheras, Selangor tetapi keluarga ibunya itu tinggal dalam suasana desa.
“Terima kasih pada keluarga dan kawan-kawan kerana mereka memberikan banyak kenangan yang boleh saya ingati dan kenang sampai sekarang.
“Sehingga kini juga kami sekeluarga masih berkumpul berbuka bersama-sama,” katanya.
Post a Comment