Header Ads

Semua Tak Percaya Dan Anggap Saya Bermimpi Tapi Malam Tu Ada Pelajar Lelaki Dirasuk - Kisah Seram Di ILP






Kisah seram ini berlaku pada tahun 2009 sewaktu saya menuntut di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pasir Gudang. Yang mana memang dari dulu ada cerita yang dibawa dari tahun ke tahun. Saya ditempatkan di dorm 1-7 aras satu di bahagian tengah di antara dorm-dorm yang lain. Dorm ini memuatkan 10 orang di dalamnya dan setiap bilik memiliki 5 katil doubledecker. Saya tidur di bahagian atas.

Pada satu hari seperti hari-hari biasa, saya dan rakan sebilik akan pergi ke surau dan solat berjemaah maghrib dan isyak. Selepas pulang dari surau, saya dan rakan-rakan akan letakkan semua tilam di lantai dan hidupkan satu laptop untuk tonton video. Oleh kerana terlalu letih, saya tidak turut serta dan memilih untuk tidur di atas katil.


Pada tengah malam, kaki saya seperti digigit nyamuk dan terasa sungguh gatal di bahagian ibu jari sehingga membuatkan saya tersedar. Tanpa membuka mata saya menggaru ibu jari yang gatal menggunakan kaki sebelah lagi. Selepas hilang gatal dikaki, saya tidak boleh terlena dan terus berkhayal.

Tiba-tiba saya terdengar bunyi sayup dikala malam yang sunyi dan bunyi itu membuatkan saya takut dan terus menyelubungi tubuh badan saya. 

Bunyi itu seperti bunyi hentakkan kedua belah kaki. Dan saya dapat bayangkan hentakan itu berjalan, tak ubah seperti hentakan POCONG.

Saya duduk di aras bawah, jadi saya akan dengar hentakan itu dari bahagian atas. Hentakan itu sayup saya dengar dari hujung asrama semakin lama semakin dekat. Semakin dekat. Semakin kuat.. Dup! Dup! Dup! Dup!

Bunyi hentakan kedua belah kaki di atas simen itu saya rasakan semakin hampir dengan saya. Sehinggalah bunyi itu benar-benar di atas kepala saya di dorm aras atas. Ia seperti tidak berganjak dari tempatnya ketika berada di atas saya. Dalam hati hanya, Tuhan sahaja yang tahu sungguh takutnya saya pada waktu itu.

Tiba-tiba bunyi hentakan itu beransur pergi dan semakin sayup, sayup, sayup dan hilang. Rasa ketakutan saya itu hilang kerana bunyi hentakan itu hilang, tetapi tiba-tiba katil saya bergegar seperti dilanggar badan manusia di hujung kaki. Saya terbayang pocong melanggar katil saya. Ia berlaku sekali saja. Saya terus terdiam, mata terus terpejam.

Hampir setengah jam selepas itu saya tak boleh tidur. Tiba-tiba kaki yang gatal tadi gatal kembali. Saya beranikan diri untuk bergerak kerana terlalu gatal dan menggaru mengunakan kaki sebelah lagi. Kerana menggaru yang kuat dan saya tidur di bahagian atas katil, katil itu berbunyi disebabkan besi bergesel. "Erkkkk erkkkk".

Tiba-tiba saya seperti mendapat respon dari katil berhadapan saya, yang mana katil itu juga berbunyi. Dan dalam hati saya, "selamatlah. Rupanya ada yang sedar".

Saya seperti mahu menjerit tapi disebabkan takut, saya diam saja. Esok saja saya tanya dengan siapa yang bunyikan katil itu. Tak lama kemudian, saya terdengar bunyi jeritan dan ada yang berlari seperti mengejar sesuatu tapi saya cuma abaikan dan terus tertidur.

Keesokan pagi saya cerita dengan rakan sekelas yang juga teman sebilik. Masing-masing tidak mempercayainya dan menganggap saya bermimpi. Bila saya balik dari kelas, saya bercerita pula pada teman sebilik yang berlainan kelas. Terdapat keraguan antara kami disebabkan saya bercerita tentang ada yang berlari-lari semalam kerana memang berlaku kejadian pelajar lelaki dirasuk pada malam itu.

Perkara yang paling membuatkan saya takut adalah bila saya tanya siapa yang tidur di atas katil berbunyi itu, semua terdiam kerana cuma saya seorang saja yang tidur di atas katil pada malam itu. Jadi siapa yang membunyikan katil?

Sekian.

Nota: Di dorm atas, pernah diceritakan terdapat anak kecik bermain basikal dan menembusi dinding. Selain itu saya juga selalu terdengar bunyi hentakan safetyboot pada waktu malam.

Penulis: Al-Luqman Nul Hakim via Arkib Angker Negara





No comments

Note: only a member of this blog may post a comment.

Powered by Blogger.