Ahli Kongsi Gelap Beri Amaran Kepada PDRM, Lontar Bom Petrol Di Pintu Masuk Balai Polis Kuala Muda, Kedah
Ini memang tindakan berani mati! Selalunya balai polis adalah tempat di mana orang ramai melaporkan kejadian jenayah yang berlaku tetapi jarang pula kita dengar anggota polis membuat laporan polis. Ini yang berlaku apabila selepas sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, Kedah telah diserang dengan Molotov koktel.
Menurut laporan The Star, kejadian tersebut berlaku pada 3.35 pagi Sabtu, apabila anggota polis yang sedang berjaga di pondok polis menyedari dua individu yang berkelakuan mencurigakan sedang mundar mandir berhampiran pintu masuk balai polis berkenaan. Anggota polis tersebut cuba mendekati mereka untuk menyoal siasat tujuan mereka.
Namun, sebelum sempat anggota tersebut pergi lebih dekat, dua individu tersebut dipercayai ahli kongsi gelap membaling bom petrol di pintu masuk balai polis tersebut dan berjaya melarikan diri menggunakan sebuah motosikal berwarna kuning.
Bom petrol tersebut meninggalkan kesan terbakar di atas jalan raya dan selepas pemeriksaan lanjut, anggota polis tersebut menjumpai sekeping kain rentang tergantung di pagar dengan satu amaran kepada pihak polis. Kain rentang tersebut tertulis perkataan 'Ini Amaran Terakhir Untuk PDRM'.
Amaran tersebut dipercayai ada kaitan dengan penahanan 62 ahli kumpulan kongsi gelap dan amaran kepada pihak polis supaya tidak membuat kacau. Anggota polis tersebut kemudian membuat laporan polis sejurus kejadian tersebut. Tiada kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan dan pihak polis masih menyiasat kejadian tersebut.
Post a Comment