Header Ads

Hafiz Hamidun Tak Kisah Buku Dikritik



Hafiz Hamidun bersikap terbuka dalam menerima kritikan terhadap buku dihasilkannya, Cerita Hati, walaupun daripada golongan selebriti. 

Penyanyi dan usahawan itu berkata demikian ketika mengulas mengenai status dimuat naik oleh pelakon, Redza Minhat, ke akaun Twitter miliknya, Isnin lalu. 



Menerusi status terbabit, Redza seolah-olah menyindir individu yang mengambil status dan kapsyen foto berserta gambar selfie yang kemudian dijadikan sebuah buku. 

"Tempek selfie dengan caption pun boleh cetak jadi buku ke? Seronoknya. But then again, satu page satu perkataan pun boleh jadi puisi. So why not? Apa boleh jual, jual!" tulis aktor itu. 

Status berkenaan membuatkan ramai yang menganggap ia ditujukan kepada Hafiz, yang baru-baru ini melancarkan buku diberi nama Cerita Hati. Ia memuatkan puisi yang diambil daripada kapsyen dan status di Facebook miliknya. 

Walaupun status terbabit tidak menyatakan judul buku dimaksudkan, Hafiz atau nama sebenarnya, Mohammad Hafiz Hamidun, 32, menyedari ia ditujukan kepadanya dan beliau menyifatkan ia sebahagian maklum balas biasa daripada orang awam. 

"Setiap perkara yang kita lakukan, ada orang yang suka dan ada yang tidak. Jadi, saya bersikap terbuka sekiranya ada yang mengkritik mahupun memuji, walaupun antara mereka adalah daripada kalangan selebriti. 

"Ia juga memberi pengajaran bagi saya untuk memperbaiki mana-mana kelemahan dalam buku yang dihasilkan itu," katanya kepada BH Online. 

Hafiz turut berharap perkara itu tidak diperbesarkan kerana beliau mahupun Redza tidak mempunyai sebarang masalah. "Sudahlah, tidak perlu besarkan isu ini. Masing-masing berhak melontarkan pandangan mereka. Yang penting, saya bersyukur Cerita Hati berjaya dijual lebih daripada 10,000 naskhah. "Kami juga akan menjual buku berkenaan pada Pesta Buku Antarabangsa di MAEPS, Serdang, minggu depan," ujarnya yang juga akan melancarkan sebuah lagi buku baharu berjudul Jodoh Berdua. Sementara itu, Redza yang dihubungi pula berkata, status berkenaan sekadar pandangan biasa tanpa ditujukan kepada mana-mana pihak. "Ia hanyalah status biasa saya berkongsi pendapat. Tidak ditujukan kepada sesiapapun," katanya ringkas.




No comments

Note: only a member of this blog may post a comment.

Powered by Blogger.