Header Ads

Lelaki Didakwa Menceroboh, Tunjuk Kemaluan Pada Surirumah



Pembantu restoran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini, atas dua pertuduhan menceroboh kediaman dan menunjukkan kemaluannya kepada suri rumah minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Salihin Zailan, 27, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret Farah Azura Mohd Saad.


Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Salihin dengan sengaja hendak mengaibkan kehormatan mangsa dengan membuka seluar dan menunjukkan kemaluannya.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira 4 pagi di asrama Balai Bomba Seksyen 15, Shah Alam pada 21 April lalu.

Muhammad Salihin didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menceroboh kediaman itu mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun, denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurulhuda Ramli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan kes disebut semula pada 26 Mei ini.



No comments

Note: only a member of this blog may post a comment.

Powered by Blogger.