Header Ads

Bayi 16 Bulan Maut, Ditemui Dalam Keadaan Tertonggeng di Dalam Baldi



Seorang bayi lelaki berusia 16 bulan ditemukan mati dipercayai lemas di dalam baldi berisi air di rumahnya di Bukit Gombang, Batu Kikir, dekat sini malam tadi.

Mangsa, Muhammad Fahil Finaz Nor Azuan ditemukan keluarganya dalam keadaan tertonggeng di dalam baldi yang diletakkan di dapur rumah berkenaan pada pukul 10.30 malam.


Ketua Polis daerah, Superintenden Noorzainy Mohd. Noor berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang bermain bersama kakaknya yang berusia tiga tahun di dalam sebuah bilik.

Menurutnya, kakak mangsa kemudian keluar untuk mendapatkan ibu mereka dan memberitahu wanita itu yang adiknya dijaga oleh bapanya.

“Menyedari sesuatu yang mencurigakan apabila tidak mendengar suara Muhammad Fahil Finaz, ibu mangsa mula mencari dan hanya menemukan suaminya di dalam bilik berkenaan.

Mereka kemudian mencari mang­sa di sekitar rumah dan menemukan mangsa dalam keadaan tertonggeng di dalam baldi berisi air di dapur.

“Bapanya cuba memberi bantuan pernafasan namun gagal dan segera mengejarkan mangsa ke Hospital Tuanku Najihah, Kuala Pilah namun bayi itu disahkan meninggal dunia pada pukul 11.45 malam,” katanya kepada pemberita di sini.

Ujar Noorzainy, ibu bapa mangsa memberitahu baldi yang berisi air dan diletakkan di dapur itu adalah simpanan untuk digunakan ketika berlaku gangguan bekalan air dan dibiarkan dalam keadaan tidak bertutup.

“Jenazah anak bongsu dari tiga beradik itu telah diserahkan kepada keluarganya selepas urusan bedah siasat selesai dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.



No comments

Note: only a member of this blog may post a comment.

Powered by Blogger.