Header Ads

Adakah Wajib Untuk Menanam Uri Bayi Dalam Islam?



Uri atau placenta adalah organ yang dibentuk di dalam rahem. Ia dibentuk bersama-sama dengan janin, bertujuan untuk pengambilan makanan dan oksigen dari ibunya. Selain itu ia mengeluarkan bahan-bahan kumuh dan toksik dari janin kepada ibu agar dapat dibuangkan dari tubuhnya.


Oleh itu uri adalah ‘sebahagian dari organ’ dalama proses pembentukan bayi. Ketika bayi dilahirkan, uri akan keluar bersama-sama bayi. Tali pusat yang menyambungkan antara uri dan bayi akan diputuskan. Selepas itu uri tidak ada lagi peranan.

Uri dikira sebagai organ yang telah mati dan hukumnya najis. Ia sama hukumnya seperti kaki yang terputus dari tubuh badah. Hukumnya najis.
Ia harus diuruskan dengan sempurna tetapi tidak berlebih-lebihan. Uri ditanam ke dalam tanah dan tidak boleh dibakar. Maka kewajiban bagi ibubapa untuk menuntut uri dari jururawat bertugas apabila anak mereka dilahirkan.

Pihak hospital tidak mempunyai polisi menanam uri bayi-bayi yang dilahirkan. Jururawat akan memberikan uri pada ibubapa untuk ditanam. Uri-uri yang tidak dituntut akan dianggap sebagai ‘medical waste’ dan dihantar kepada kontraktor pembersihan agar dibakar.

Setakat ini belum ada lagi bukti saintifik kegunaan uri. Sebahagian saintis mengambil darah dari tali pusat sebagai kajian stem cell yang dianggap sebagai bidang baru. Walaubagaimanapun tidak keseluruhan uri itu digunakan dan akan dilupuskan.

Ulama’ mengharamkan kegunaan uri untuk tujuan kosmetik. Ini kerana sifat uri itu sendiri adalah najis. Ianya bukanlah ‘keperluan yang mendesak’ bagi orang ramai yang menggunakannya kerana tiada pesakit yang akan mati jika tidak menggunakan produk kosmetik yang mengambil uri sebagai bahan aktifnya. Lainlah kalau uri dijadikan ubat yang sangat mujarab untuk penyakit kritikal dan tidak ada alternatif lain bagi ubat yang diperbuat dari uri ini.

Ada masyarakat yang percaya bahawa uri haruslah dimakan oleh ahli keluarga mereka. Sebilangan masyarakat di China dan Hong Kong, percaya memakan uri adalah sesuatu yang menyihatkan dan banyak produk kesihatan dibuat dari uri manusia.

Saya sendiri berpendapat eloklah ditinggalkan penggunaan kosmetik atau makanan kesihatan yang diperbuat dari uri, sama ada uri manusia atau binatang.

Pertama, produk-produk yang diperbuat daripada uri adalah produk-produk baru yang belum ada kajian saintifik yang lengkap. Banyak kesan sampingan yang belum diketahui sedangkan kesan-kesan sampingan ini kadangkalanya mengambil masa bertahun-tahun untuk berlaku.

Kedua, banyak lagi produk kecantikan dan kesihatan yang selamat dan berkesan boleh digunakan. Saya perpendapat bahawa produk kecantikan dan makanan kesihatan yang menjadikan uri sebagai bahan aktif adalah satu gimik business yang meloyakan.

Uri memainkan banyak peranan dalam peradaban dan budaya manusia sejagat. Sebagai contoh masyarakat Maori di New Zealand akan menanam uri ke dalam tanah kerana percaya kepada hubungan akrab antara manusia dan tanah.

Sementara masyarakat di Cambodia dan Costa Rica percaya upacara menanam uri akan melindungi bayi yang dilahirkan daripada penyakit.

Masyarakat Nepalese dan orang Asli di Malaysia menganggap bahawa uri adalah ‘kembar’ kepada bayi yang dilahirkan. Oleh itu mereka beranggapan bahwa uri harus ditanam dengan penuh upacara dan pantang larang.

Sedangkan dalam al-Quran dan Sunnah tidak ada riwayat yang menyatakan peranan uri selepas dilahirkan dan bagaimana uri harus ditanam. Oleh itu uri ‘bukanlah kembar bayi’ dan harus dianggap seperti organ tubuh yang terpisah dan hukumnya najis. Ia harus ditanam tanpa upacara yang karut-marut.

Cara terbaik ialah dengan menggalikan lubang pada tanah sedalam yang munasabah, kira-kira binatang liar seperti anjing tidak boleh menggalinya. Tidak perlu menghadap kiblat atau mengadakan pelbagai upacara ritual.

Kepercayaan bahawa uri mesti diuruskan dengan cara tertentu adalah khurafat dan mendekati syirik. Jika kepercayaan ini diteruskan, ia boleh membawa kepada syirik yang lebih besar. Jika seseorang itu mati dalam keadaan syirik, dosa-dosa yang dibawa mati tidak akan diampuni.

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.(QS. An-Nisa’: 48)

Sekali lagi, jangan sampai kita mempunyai kepercayaan salah tentang uri bayi. Ia harus ditanam agar supaya tidak membusuk dan mendatangkan penyakit pada masyarakat sekitar. Jauhkan kepercayaan tahyul atau bimbang bahawa uri akan menjelma menjadi hantu atau syaitan.
Wallahu a’lam

Susunan Dr Zubaidi Hj Ahmad (140411)


No comments

Note: only a member of this blog may post a comment.

Powered by Blogger.