Hantu Pocong Terakam Kamera Di Kampung Jalan Kebun ?
Penduduk gerun, takut dan bimbang keluar malam. Itu gambaran situasi semasa sebahagian besar penduduk Kampung Jalan Kebun di sini, selepas digemparkan dengan kisah penemuan pocong sejak malam kelmarin.
Lebih menyeramkan, lembaga putih yang kelihatan di satu lokasi di taman perumahan itu menimbulkan pelbagai reaksi negatif lebih-lebih lagi setelah ia menjadi viral di laman sosial Facebook.
Menerusi rakaman video amatur berdurasi 20 saat itu, kelibat pocong yang sedang berdiri tegak seolah-olah memerhatikan sekumpulan remaja yang kebetulan dapat merakam imej berkenaan.
Hasil tinjauan mendapati, video tersebut mendapat 103,096 tontonan sebelum dipadamkan 'admin' grup Facebook berkenaan.
Pemilik akaun Facebook Alif yang juga penduduk asal Jalan Kebun meminta mana-mana pihak yang tidak mengetahui perkara sebenar supaya tidak menokok tambah cerita mengenai kelibat pocong berkenaan.
"Cerita ini menyebabkan penduduk atau orang luar yang melalui Jalan Kebun akan jadi takut bila tiba waktu malam.
"Untuk pengetahuan awam, gambar hantu pocong kat tepi jalan tu sebenarnya tipu dan bukannya betul sebab edit.
"Saya tak pasti siapa yang tangkap dan pasal video itu pun tipu juga," katanya.
Sementara itu, DjAzwan pula berkata, informasi kejadian di kampung itu adalah benar dan pertama kali berlaku pada awal Syawal.
"Telah tiga hari berturut-turut dan Insya-ALLAH telah selesai selepas dikembalikan di tempat asalnya dan kawasan perumahan tersebut dipagar," katanya.
Eja Aira pula berkata, dia bimbang jika ada aktiviti khurafat di kawasan berkenaan.
"Ada aktiviti kurafat ke? Nauzubillahiminzalik... Minta dijauhkan la... Tak risau pasal hantu tapi risau akidah manusia," katanya.
'Pocong tak wujud'
Kisah kewujudan pocong di Kampung Jalan Kebun seperti yang viral di laman sosial Facebook hanya rekaan semata-mata.
Ketua Kampung Jalan Kebun, Mohd Salehan Tahir berkata, dakwaan di Facebook itu tidak benar sama sekali.
“Ia sengaja direka cerita pihak tertentu untuk menakutkan kira-kira 20,000 penduduk melibatkan 15 kariah di sini.
“Pocong tak wujud di kampung ini,” katanya tegas kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, kisah kewujudan pocong di kampung itu tersebar dua malam lalu.
“Malam kelmarin penduduk memaklumkan kepada saya khabar angin itu.
“Jadi kami berpakat dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan penduduk kampung buat rondaan menjejaki kewujudan pocong itu.
“Mereka yang berkawal dari Lorong Haji Bani dan Haji Bakar hingga jam 4 pagi tak jumpa apa-apa kesan,” katanya.
Bagi terus menjejaki bukti, katanya, pagi tadi (semalam) pihaknya dan beberapa penduduk membuat lawatan dan pemeriksaan ke Tanah Perkuburan Islam Batu 9.
“Namun tak wujud kesan korekan pada kubur atau sebarang amalan khurafat di situ sebaliknya, apa yang ditemui hanyalah kerja membaik pulih kubur lama yang mana mereka letak botol sebagai tanda di tempat itu ada kubur lama.
“Kerja-kerja tersebut dilakukan penduduk kariah Wetan dan ia telah disahkan mereka yang terlibat dalam kerja tersebut,” katanya.
Beliau turut meluahkan kekesalan dengan pihak tertentu yang mengaitkan kampung itu dengan pocong.
“Saya tak tahu apa niat mereka namun tindakan itu tak melemahkan penduduk.
“Cerita itu tak berapa panas di sini, saya lihat penduduk hidup seperti biasa,” katanya.
Tak peduli cerita tahyul
Dalam pada itu, Mohd Salehan berkata, pihaknya dan JKKK tidak menolak kemungkinan cerita itu direka semata-mata untuk menakut-nakutkan penduduk.
“Tak dinafikan banyak juga kes pecah rumah dan warga asing yang tinggal di sini.
“Saya khuatir cerita itu sengaja diada-adakan supaya penduduk alpa dengan pencuri sebaliknya lebih mempercayai syaitan daripada manusia,” katanya.
Katanya lagi, kes sedemikian pertama kali berlaku di kampung ini.
“Jadi saya minta pihak berkenaan menghentikan cerita yang tak betul ini sebaliknya berpegang kepada al-Quran.
“Jika kami menemui sebarang unsur negatif yang boleh mengancam keselamatan penduduk, kami bercadang untuk membuat laporan polis... setakat ini semua terkawal,” katanya.
Sementara itu, penduduk yang rata-rata ditemui Sinar Harian mengakui tidak terkesan dengan penyebaran viral berkenaan, bahkan di kedai-kedai kopi juga kisah itu tidak diperbualkan.
Guru, Siti Rahaya Mohd Salehan, 46, berkata, dia langsung tidak terkesan dengan kisah berkenaan.
“Saya tahu kisah viral di Facebook jarang ada sahihnya... lagipun orang yang dakwa perkara itu tak wujud.
“Banyak yang direka dan tokok tambah untuk takutkan penduduk,” katanya.
Namun begitu, menurutnya, dia tetap mengikut perkembangan kisah itu melalui grup WhatsApp penduduk sekadar suka-suka.
“Di sekolah, ada juga murid tanya pasal kisah itu... saya terangkan kepada mereka jangan terpengaruh.
“Bahkan mereka mengakui dapat tahu kisah itu juga dari Facebook dan mengakui langsung tidak tahu rupa pocong berkenaan,” katanya.
Berhubung penampakkan entiti pocong di sini, Sinar Harian mendapatkan penjelasan pengamal perubatan Islam bagi merungkai persoalan yang berlegar-legar dalam kalangan minda penduduk di Jalan Kebun.
Menurut Ketua Lujnah Latihan dan Kurikulum Darussyifa', Ikmal Zaidi, semua yang berlaku (jelmaan imej pocong) adalah jika diizinkan Allah.
"Betul ke pocong...takut ada yang menyamar. Kalau betul pocong, maka ia jelmaan makhluk halus (jin) yang mahu ganggu manusia dengan rupa menakutkan dan ia harus berlaku jika diizinkan Allah," katanya.
Sumber : SH
Post a Comment