Imam & Muazin Dipanggil Viral Video Jemaah Berpesta Dalam Masjid
Kakishare.my - Imam dan muazin sebuah masjid di Jeddah dipanggil Kementerian Ehwal Islam Arab Saudi setelah rakaman video yang menunjukkan sekumpulan jemaah sedang berpesta dalam masjid tersebut sempena Aidilfitri tersebar luas, lapor Arab News.
Kedua-dua mereka dipanggil untuk disoal siasat tentang isu itu sebelum kementerian tersebut memutuskan hukuman yang perlu dikenakan terhadap mereka, lapor Saudi Gazette.
Pengarah cawangan kementerian itu di Makkah, Ali Salem Al-Abdali berkata, memainkan lagu dan menari di dalam masjid melanggar kesucian rumah ALLAH.
Kedua-duanya mungkin berdepan dengan hukuman dipecat dari jawatan masing-masing sekiranya terbukti mereka mengetahui mengenai insiden menari itu.
Melalui video yang tersebar di media sosial, sekumpulan jemaah menari mengikut rentak muzik dan nyanyian dalam bahasa Arab yang dimainkan dengan kuat di masjid tersebut.
Jemaah lain dilihat memerhatikan mereka dan ada yang merakam video atau gambar dengan telefon bimbit sementara yang lain menikmati jamuan yang disediakan.
Anggota Majlis Ulama Kanan, Sheikh Ali Al-Hakami mengutuk insiden tersebut dan berkata pihak yang menganjurkan dan menyertai sambutan itu harus dipertanggungjawabkan.
Beliau menegaskan bahawa masjid-masjid merupakan tempat beribadah, bukan untuk menari dan menyanyi.
Bagaimanapun, menurut laporan Al-Hayat imam masjid terbabit, Qashmir Al-Qarni, mendakwa beliau tidak mengetahui ada jemaah yang menari di dalam masjid.
Malah katanya, lagu-lagu yang dimainkan hanya berunsur Islami dan kenegaraan.
Post a Comment