Header Ads

Banyuwangi Melekat Di Hati




INDONESIA sering menjadi pilihan destinasi pelancongan sebahagian besar masyarakat dari Malaysia. Tempoh perjalanan yang singkat, kadar mata wang rendah, bahasa yang mirip dan makanan mudah didapati antara faktor penyumbang negara jiran itu sering dikunjungi.

Jakarta, Bandung, Bali, Surabaya, Bukit Tinggi, Medan dan Lombok kerap mendapat perhatian masyarakat negara ini untuk bercuti bersama keluarga, berbulan madu ataupun bermain golf.

Jakarta dan Bandung begitu popular kerana menjadi syurga beli-belah manakala Surabaya pula dikenali kerana walisongo dan Gunung Bromo dan Bali menjanjikan keindahan pantai serta kedamaian kepada pengunjungnya.

Justeru, ramai pengantin baru dan pasangan yang mahu menyambut ulang tahun perkahwinan memilih Bali sebagai destinasi yang dianggap romantik. Ketika berpeluang menyertari Fam Trip Mitra Asita Bali di antara 7 April dan 12 April 2016, Bali sekali lagi menjadi perhatian 15 peserta dari agensi pelancongan tempatan yang mengikuti kembara itu.

Diketuai Azlinda Shaharudin dari Eye M Hear Holidays, kembara Fam Trip begitu mengujakan kerana kami berpeluang meninjau Bali dan sebuah lagi destinasi yang sangat jarang diperkatakan iaitu Banyuwangi.

Sejurus tiba di Ngurah Rai Airport di Bali pada kira-kira jam 12 tengah hari waktu tempatan, kami disambut oleh wakil dari Mitra Asita, iaitu Ibu Dwi Nurdayati dan Yan Permana yang mewakili Promosi Pelancongan Asia Tenggara.

Perut terasa lapar dan sejurus tiba di Restoran Budesa, semua menikmati masakan tempatan dengan begitu berselera. Kunjungan ke Bali mungkin tidak lengkap jika tidak singgah ke pantainya.

Kami berkunjung ke Pantai Pandawa yang terletak di Kuta Selatan, iaitu kira-kira tiga km dari Nusa Dua. Pantai Pandawa belum begitu dikenali dan jarang dikunjungi.

Suatu ketika dahulu, ia dikenali sebagai pantai rahsia kerana kedudukannya agak tersembunyi, iaitu di bahagian belakang tebing. Lazimnya, ia sering menjadi tumpuan pelancong tempatan dan pelancong asing yang gemarkan aktiviti meluncur air.


Pantai pasir putih dengan panaroma mengagumkan menjadikan Pantai Pandawa yang mula dibangunkan kira-kira 20 tahun lalu tidak jemu dipandang kerana begitu mengasyikkan. 

Setelah itu, kami ke Garuda Wisnu Kencana, sebuah taman budaya seluas 60 hektar di Badung sebelum daftar masuk ke H Sovereign Hotel untuk melelapaskan penat lelah seharian. 


Hari kedua di Bali, kami berkunjung ke Desa Gulingan. Mungkin mencabar bagi sesetengah pengunjung kerana anda perlu menempuh kawasan bendang untuk mengikuti kelas memasak dan menikmati hidangan siang.


Namun pengalaman itu sukar dilupakan dan menyeronokkan apatah lagi setiap peserta program kembara Bali Banyuwangi saling bekerjasama menghulurkan bantuan sebelum tiba di lokasi yang membuka peluang kepada kami untuk menganyam, memasak dan memancing.

Setelah kekenyangan menikmati masakan tradisional Bali dan bergambar kenangan di Desa Gulingan yang menghijau saujana mata memandang, kami berangkat pula ke Cempaka Belimbing Resort yang begitu mendamaikan.

Kembara ke Bali dan Banyuwangi selama enam hari menghiburkan hati. Ingin datang lagi tetapi besar kemungkinan ke Banyuwangi yang berkesan di hati kerana semangat gotong penduduk Desa Kemiren menyambut kedatangan tetamu.




No comments

Note: only a member of this blog may post a comment.

Powered by Blogger.