Header Ads

Jepun - Bersih Di Mata, Menarik Di Hati





JEPUN, turut dikenali sebagai negara matahari terbit tidak jemu dikunjungi biarpun sudah bertandang ke negara yang menitikberatkan kebersihan dan kesopanan itu beberapa kali.

Kunjungan saya pada 5 Ogos hingga 15 Ogos baru-baru ini membuka peluang menjelajah ke Shoryudo (Jepun Tengah) yang merangkumi wilayah Nagano, Gifu, Toyama dan Ishikawa.

Kembara ke bumi Nippon bermula pada jam 10.50 malam menerusi pesawat Singapore Airlines. Transit di Singapura seketika dan berlepas ke Jepun pada jam 1.20 pagi tanggal 6 Ogos. Pesawat mendarat di Lapangan Terbang Chubu pada jam 9.05 pagi waktu tempatan.

Setelah melepasi imigresen dan kastam, saya berjalan menuju ke balai ketibaan dan sejurus keluar, terlihat nama saya tertera di atas kadbod lalu saya menuju mendapatkan wanita yang memegang kadbod berkenaan.

Dia adalah Satoko Ito, wakil Meitetsu World Travel yang banyak berurusan dengan saya menerusi emel berhubung Perjalanan Pengenalan atau Familiarization Trip ke Shoryudo. Beliau memperkenalkan saya dengan penterjemah dan tour guide, Makiko Kunazawa.

Lazimnya, fam trip disertai ramai kakitangan agensi pelancongan tetapi kunjung ke Jepun Tengah berbeza kerana hanya saya dan wakil dari Indonesia, Michelle Claudine menyertainya. Saya terkejut apabila dimaklumkan oleh Pengarah TM Tours, Naaimah Abdullah bahawa saya satu-satunya wakil dari Malaysia.

Di terminal lapangan terbang, saya dan Michelle, dibawa ke meninaju Pusat Khidmat & Informasi Pelancongan Jepun Tengah, bilik solat dan tempat wuduk selain kedai-kedai di sekitarnya.

Kami kemudiannya menikmati hidangan tengah hari di Restoran Hai Shang Lou yang menyediakan menu halal daripada produk Brahim. Tiga menu halal disediakan iaitu set nasi dan daging rendang, set nasi, kentang dan kari ayam serta set ketiga ialah nasi, ayam masak tomato berserta sayur-sayuran.

Kenyang menikmati hidangan dan mencuci mata di sekitar bazar di dalam lapangan terbang, kami menaiki tren Meitetsu ke stesen Nagoya dan singgah sebentar di pusat beli-belah Meitetsu. Tidak mampu berbelanja dan hanya mencuci mata kerana kadar mata wang Jepun yang tinggi walaupun barangannya sungguh memikat hati.

Satoko dan Makiko menunggu kami di Starbuck. Menghilangkan kehausan, saya dan Michelle membasahkan tekak dan berehat seketika di situ. Seterusnya kami menaiki tren Shinano untuk ke Matsumoto.

Perjalanan hanya mengambil masa 25 minit untuk tiba di stesen Matsumoto. Sejurus tiba, kami menaiki teksi untuk menuju hotel penginapan. 

Disebabkan banyak jalan tutup kerana festival Bon-Bon, teksi terpaksa berhenti agak jauh. Makiko terasa tidak enak kerana kami terpaksa membawa bagasi besar ke hotel. Namun, tidak sampai lima minit berjalan, kakitangan hotel menghulurkan bantuan.

Banyak yang indah dan sesuai dikunjungi seperti Matsumoto Art Museum dan Matsumoto Castle. Pengalaman membuat soba di Takagi Restaurant menarik perhatian apatah lagi sejurus memasuki restoran itu, pemiliknya mengatakan restoran itu turut menyediakan ruang solat.

Malah, sejurus melihat saya, dia bertanya adakah saya mahu solat. Saya katakan belum masuk waktu Zuhur. Selesai membuat soba dan menikmatinya, saya bersolat Zuhur dan Asar di restoran berkenaan.

Selesai makan tengah hari, kami ke Kamikochi, kawasan pergunungan yang menjanjikan pemandangan serba hijau yang mendamaikan. Sungai yangmengalir sederhana deras mencuri perhatian. Persekitaran bersih dan nyaman menyejukkan pandangan.

Kunjungan ke Jepun pada kali ini penuh dengan peluang dan pengalaman baru sehingga teruja saya dan Michelle. Di Takayama, kesempatan memakai kimono tidak dilepaskan. Di kedai Tanaka Gofukuten, kimono berasas kain kapas digayakan dan lebih memeranjatkan apabila kami diminta berjalan di sekitar Old Street dan berkunjung ke restoran serta kedai Mesra Muslim.

Saya terasa segan apabila televisyen NHK merakamkan aktiviti kami sejak dari menikmati makan tengah hari di Okuhida Garden Hotel yang menyediakan menu halal sehingga berjalan di sekitar Old Street. Aktiviti kami itu turut mendapat liputan wartawan akhbar harian negara itu.

Di Takayama, anda tidak perlu risau untuk berbelanja dan makan kerana banyak kedai Mesra Muslim boleh ditemui seperti di Takayama Jinya, Takayama Yataikaikan dan Kusakabe Mingeikan. Malah ruang solat juga disediakan untuk memastikan keselesaan pengunjung Muslim.

Selepas makan tengah hari di kafe Ekimae Ken, wakil Muslim Friendly Project, Daichi Shimizu,meminta izin merakamkan gambar saya sedang bersolat di kafe berkenaan. Jika hendak membeli manisan dan kekacang, anda boleh temui di Otowaya dan Bunrindou.

Jauh berjalan luas pemandangan. Kunjungan ke Jepun Tengah semakin mengujakan apabila tiba di Shirakawao-go, yang mengambil masa kira-kira 45 minit berkenderaan dari Hida Plaza Hotel di Takayama.

Hati saya tertarik dengan keindahan dan kedamaian di Shirakawo-go. Sekali pandang sudah jatuh cinta dengan persekitarannya. Sungguh mengasyikkan, apatah lagi jika berpeluang ke situ pada musim bunga atau musim dingin.

Jepun sesuai dikunjungi kerana usaha masyarakat di sana melasksanakan Muslim Friendly Project sejak dua tahun lalu menyebabkan semakin banyak kedai dan restoran peka serta prihatin dengan keperluan umat Islam.




No comments

Note: only a member of this blog may post a comment.

Powered by Blogger.