Header Ads

'NAK PERGI CHECK UP PUN NAK SURUH SUAMI TEMANKAN KE?'




Di sini, saya ingin berkongsi pendapat tentang mengepa suami perlu temankan isteri ketika ke klinik kesihatan atau yang sewaktu dengannya. Ia mungkin tidak sama dengan pengalaman anda, namun saya hanya berkongsi sahaja.

1. Isteri membawa anak, selain anak yang dikandung. Kasihan juga pada mereka yang perlu mengawal anak-anak yang lain. Anak-anak masih lagi ingin bermain dan tidak akan melekat semata-mata di kerusi. Ia boleh mengakibatkan isteri terpaksa mengawasi anak-anak di samping mata dan telinga tidak terlepas pandang dari menunggu nombor giliran dipanggil.

2. Kembali kepada tanggungjawab. Memeriksa kandungan bukan hanya sekadar tanggungjawab isteri. Si suami juga harus bertanggungjawab untuk mengetahui perihal kandungan dan perihal kesihatan antara ibu dan anak.

Bukan sekadar pandai membuat anak dan melepaskan sahaja tanggungjawab sambil menunggu kelahiran.

3. Isteri yang mengandung kebiasaannya akan kerap ke tandas. Mereka perlu membawa beg tangan yang besar, buku rekod kesihatan, ditambah pula dengan anak-anak yang dipangku. Takkan perlu bawa kesemuanya dalam tandas. Tandas di klinik pun bukan semua macam tandas di rumah. Ia adalah tandas awam. Tali tarik pam air pun kadang-kadang boleh hilang.

4. Ia adalah bukti kasih sayang dan cinta seorang suami kepada isteri. Biar suami saksikan sendiri betapa seksanya untuk menjalani pemeriksaan, rawatan, kandungan, anak-anak yang perlu diperhatikan jika ada demam dan sakit. Agar suami lebih menghargai penat lelah isteri yang berkorban masa, jiwa dan tenaga dalam menghadapi kesemua perkara rutin di atas.

5. Bukan semua klinik kesihatan mempunyai ruang parkir yang mencukupi. Ada yang perlu memarkirkan kenderaan mereka sejauh 1 kilometer untuk mencari ruangan parkir yang sesuai dan tidak menganggu lalulintas. Bayangkan jika isteri membawa kandungan atau anak-anak kecil dalam kepanasan tengah hari dan berjalan sejauh 1 kilometer atau lebih?

Maka suamilah yang berhak untuk menghantar dan mencari parkir lalu menemani isteri di dalam ruangan menunggu atau boleh saja suami menunggu di dalam kereta asalkan suami ada dalam memberikan kekuatan dan sokongan pada isteri.

6. Anak-anak ada yang lapar semasa menunggu. Kita tak boleh sangka datang jam 10 pagi, jam 10.05 sudah siap. Kadang-kadang ada yang terpaksa menunggu sehingga jam 4 petang. Lebih-lebih lagi ketika peak hour.

Maka, suamilah yang harus berkejar membeli makanan. Sekurang-kurangnya sekeping nugget yang biasanya ada dijual di ruangan luar klinik untuk diberi kepada anak-anak yang kelaparan. Ah! Ibunya pun lapar juga.

7. Bukan semua isteri ada belajar tentang ilmu sains dan rumahtangga atau alam dan manusia. Mereka juga kadang-kadang buntu tentang istilah-istilah sains dan perubatan yang mengelirukan. Suami berguna untuk mencatat, kalau sempat google atau mengingati apa sahaja yang dimaklumkan oleh doktor kepada isteri anda. Bonus jika anda sendiri tahu tentang pelbagai istilah tersebut.



8. Suami sendiri baca Facebook 2 3 kali skrol ke bawah dan akan tekan home atau kembali ke Newsfeed walaupun adakalanya bukan ada update terbaru dari rakan-rakan Facebook. Namun, tetap tangan itu menekan butang News Feed.

Jadi apa salahnya anda temankan isteri untuk kesekian kalinya walaupun anda menganggap ia adalah pekerjaan yang membosankan. Sama juga seperti menekan butang News Feed. Malahan, pekerjaan ini jauh lebih berharga dan bakal mendapat ganjaran daripada Ilahi.

9. Masuk berjumpa dengan doktor atau jururawat yang mempunyai saiz bilik tidak lebih dari 10x10, menyebabkan anda tidak dapat masuk ramai-ramai ke dalam bilik tersebut. Di sinilah fungsi seorang suami perlu menjaga anak-anak yang lain di luar bilik. Kalau ada 5 orang anak? Mahu jadi taman permainan kanak-kanak dalam bilik doktor.

10. Kata lautan api sanggup direnangi, takkan pergi klinik kesihatan pun nak mengeluh bang?

Ikhlas dari suami kepada isteri nan satu dan baru balik dari klinik kesihatan tadi.


No comments

Note: only a member of this blog may post a comment.

Powered by Blogger.