Header Ads

Kakitangan Kedutaan Malaysia Bakar Dokumen, Siap Sedia Untuk Dipindah Lapor CCTV




Kakitangan kedutaan Malaysia di Pyongyang dilaporkan membakar dokumen dan memuatkan bagasi mereka ke beberapa kendenderaan sejak malam semalam, lapor setesen televisyen, China Central Television (CCTV). 

Laporan itu juga menyebut bahawa bendera Malaysia dan Asean di perkarangan kedutaan telah diturunkan pagi ini, manakala tiga kenderaan dilihat meninggalkan bangunan berkenaan. 

Pyongyang mengusir Duta Besar Malaysia Mohamad Nizam Mohamad sebagai tindak balas keputusan Wisma Putra yang mengisytiharkan Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol sebagai "persona non grata". 

Kang Chol berlepas ke Beijing petang semalam. Pyongyang mendedahkan bahawa ia telah menguatkuasakan larangan sementara kepada rakyat Malaysia di Korea Utara daripada meninggalkan negara itu. 

Sebagai tindak balas, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia juga melarang pegawai dan kakitangan kedutaan Korea Utara daripada meninggalkan negara ini. 

11 rakyat Malaysia dilaporkan berada di negara tersebut. Daripada jumlah itu, tiga kakitangan adalah kakitangan kedutaan yang dilaporkan berada dalam keadaan selamat. Dua lagi, katanya adalah peserta Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) manakala selebihnya adalah ahli keluarga mereka. 

Hubungan diplomatik antara Korea Utara dan Malaysia menjadi tegang berikutan pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2) pada 13 Februari lalu. 

Korea Utara telah menuduh Malaysia bersekongkol dengan negara lain dan juga memalsukan bukti berhubung kes itu. Malaysia menafikan tuduhan ini.


No comments

Note: only a member of this blog may post a comment.

Powered by Blogger.