Header Ads

"Pengorbanan Ayah Membuatkan Aku Benci Sikap Lamanya"




Ayah aku dah meninggal 11 tahun lepas semasa aku masih bersekolah menengah. Jujur, masa time budak-budak ni, aku tak faham erti takde ayah ni. Bila dah besar ni, baru faham, baru terasa sangat-sangat. Kadang-kadang duduk sorang pun boleh mengalir air mata teringat pengorbanan ayah.

Ayah aku datang dari keluarga yang susah, adik beradik ramai. Dia selaku anak lelaki sulung memang rajin kerja part time zaman sekolah. Pagi sekolah, petang pegi angkat taik getah bawak gi bandar untuk jual. 

Ayah selalu cerita sebabkan keluarga dia susah, dia ada satu buku tulis je untuk semua mata pelajaran kat sekolah. Tapi ayah aku orangnya bijak. Walaupun zaman dulu takde tusyen bagai dengan buku tulis sekeping je, dia lulus SPM pangkat 1 dan dapat tawaran belajar dalam bidang medic. 

Tapi sebab ayah aku tak reti english, ye la budak kampung, dia cabut lari dari course tu dan apply belajar engineering dekat UTM. So, pendek cerita, ayah berjaya jadi engineer. Ayah aku ni personaliti dia sepanjang kitaorg membesar, memang kedekut. Tapi bukan kedekut suka-suka dan tak bertempat, kedekut ada sebab. 

Hasilnya ayah mampu beli beberapa biji rumah dan tanah. Aku sejujurnya tak pernah rasa duduk rumah sewa, memang dari kecik dah duduk rumah sendiri yang ayah beli. Sebabkan personaliti ayah, kami adik beradik memang sambung belajar tak guna ptptn mahupun biasiswa. Baik yang belajar swasta, mahupun yang belajar IPTA.

Memori aku sewaktu kecik dengan ayah cukup banyak. Sebab aku dari kecik sampai besar jarang sekali makan kat luar. Memang hari-hari makan kat rumah. Entah, ayah aku mungkin tak lalu makan kat luar kot. 

Aku jugak ingat lagi, siang ayah keje kat ofis, malam buat design kat rumah. Hujung minggu pun macam tu. Sampaikan nak balik raya pun sempat submit drawing kat client. Haha. Hidup ayah memang penuh dengan kerja, tapi sebab nak sara kami anak beranak, ayah korbankan hidup dia, burn the midnight oil, semuanya demi keluarga.

Ayah aku memang anak kesayangan tok aku dari dulu. Sampai sekarang, tok aku mesti akan cerita pasal ayah aku. Dia selalu cakap, “kalau ayah tak sambung belajar dulu, taktau la adik-adik ayah semua belajar ke tak. 

Sebabkan ayah la semua adik-adik ayah belajar sebab ayah akan pastikan adik-adik dia apply universiti.” Dan juga sebab ayahlah kami adik beradik hidup selesa sampai ke hari ini. Selepas 11 tahun, mak aku dan adik-adik aku yang kecik masih gunakan duit peninggalan arwah ayah untuk menampung hidup & mind you, aku boleh katakan mak dan adik-adik aku hidup cukup mewah sekarang. Bukan aje kami adik beradik, malahan tok dan arwah tok laki aku pun menikmati hasil harta peninggalan ayah. Rumah yang tok duduk sekarang pun dah diubahsuai guna duit arwah ayah aku.

Aku sebak, aku sebak sangat-sangat kalau teringat atau baca pasal apa-apa yang berkaitan dengan ayah. Ayah sempat tengok abang aku grad konvo diploma je. Tu pun time tu dia dah mula sakit-sakit.

Hari tu aku melawat seorang sedara kami ni. Aku tengok betapa mak dan ayah dia bertungkus lumus kerja siang malam, sampai terabai anak sebab kesempitan hidup. Balik tu aku termenung dalam dan lama. 

Aku fikir, ya Allah, ayah aku tinggalkan harta pusaka hasil dia kerja siang malam, sampaikan dah 11 tahun pun kami masih menikmati harta dia tinggalkan untuk kami. Sedangkan rumah yang aku duduk sekarang pun adalah harta peninggalan ayah, aku kahwin pun guna duit pusaka…betapa panjangnya pahala harta seorang ayah.

Dan sebelum aku terlupa, aku tak bagitau kan ayah aku meninggal sebab apa? Ye, ayah aku meninggal sebab sakit jantung. Dia memang seorang heavy smoker. Satu hari boleh pergi dua kotak dunhill light. 

Aku tak salahkan ayah aku, sakit jantung dan rokok pun cumalah asbab kematian. Tapi natijahnya, sampai sekarang, aku cukup benci smoker. Sebab bila kau mati, kau tak kan tahu besarnya lompong dalam hati keluarga yang ditinggalkan.


No comments

Note: only a member of this blog may post a comment.

Powered by Blogger.