Header Ads

Peninggalan Harta Ibu Mertua




Nama aku Jamilah. Aku seorang isteri berumur 33 tahun dan mempunyai seorang anak perempuan berumur 3 tahun. Aku berasal dari sebuah kampung di selatan tanahair dan dibesarkan dalam keluarga peneroka (FELDA). Ketentuan jodoh, aku ditakdirkan berkahwin dengan seorang lelaki dari Kuala Lumpur (TTDI) sejak 5 tahun lalu.

Cerita aku hari ini berkenaan ibu mertua. Lebih tepat, arwah ibu mertua. Lebih spesifik HARTA peninggalan arwah ibu mertua!

Arwah ibu mertua aku seorang wanita yang lahir di sebuah bandar di utara tanahair. Kemudian beliau berkahwin dengan ayah mertua aku yang memang berasal dari Kuala Lumpur. 

Mereka mempunyai 3 orang anak lelaki termasuk suami aku. Arwah ibu dan bapa mertua bekerja di syarikat swasta sehingga mereka pencen. Keluarga mereka boleh dikatakan termasuk dalam golongan kelas pertengahan.

Setahun selepas kami berkahwin, ibu mertua jatuh sakit. Pelbagai usaha yang keluarga usahakan. Hospital kerajaan ke swasta. Pusat perubatan dalam ke luar negara.

 Moden, tradisional dan Islamik. Hakikatnya, ajal dan maut adalah ketentuan Tuhan. Ibu mertua meninggal dunia selepas setahun berjuang melawan kanser.

Arwah ibu mertua, seperti majoriti wanita lain seorang yang bijak menguruskan kewangan. Sepanjang hayatnya, beliau hidup sederhana di samping suami dan anak-anak. Sehinggalah selepas arwah meninggal dunia, barulah keluarga dapat tahu betapa banyak harta yang beliau tinggalkan seperti wang simpanan dan aset-aset lain seperti rumah, tanah, barang kemas dan sebagainya.

Lebih memudahkan, semua harta telah diwasiatkan, hibah, dan di bahagi-bahagikan secara adil dan saksama mengikut syariat dan panduan agama. Bukan hanya untuk kaum keluarga, arwah juga mewasiatkan sebahagian hartanya kepada beberapa individu, keluarga dan badan pertubuhan. Semua urusan ini telah arwah uruskan sebelum beliau jatuh sakit!

Aku bersyukur mempunyai suami dan adik -adik ipar yang bertanggungjawab. Sepanjang ibu mertua sakit, semuanya bergilir menjaga arwah ibu mertua. Bila arwah ibu mertuaku meninggal, mereka sama-sama memandikan jenazah dan suami mengimamkan. 

Maka, pada pendapat aku selayaknya sekarang ini mereka menikmati harta yang arwah ibu mertua tinggalkan. Ya, aku dan ipar duai turut terkena tempiasnya, malah ada bahagian kecil diwasiatkan kepada kami! Alhamulillah. Nikmat Tuhan mana yang kamu dustakan?

Sengaja aku pilih subjek harta untuk membuka mata kita bahawa bukan semua penghujung cerita bahawa harta adalah bencana, menjadi rebutan dan punca perpecahan seperti yang selalu ditonjolkan.

Masih banyak lagi kisah tentang harta, bukan sahaja yang menjadi manfaat semasa di dunia, malah mampu menjadi bekalan selepas kematian seandainya diuruskan dengan berberhemah dan bijaksana.

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.”

(Hadith Sahih – Riwayat Muslim dan lain-lainnya)


No comments

Note: only a member of this blog may post a comment.

Powered by Blogger.