Header Ads

"Mertua Sayang Bila Ada Harta, Bila Tak Ada Layan Pun Tak"




Izinkan aku kenalkan diri aku sebagai Wani. Tamat je belajar lebih kurang 9 tahun lepas, aku ditawarkan kerja di sebuah syarikat multinasional sebagai seorang software engineer. Makan gaji di syarikat swasta. 

Gaji takde la banyak mana pada awal kerja tu, tapi alhamdulillah cukup untuk semua. Masuk 3 tahun pertama kerja, aku mula ‘lompat company’. Lepas satu syarikat, ke satu syarikat, yang akhirnya menawarkan gaji hampir 5 angka.

Masa ni semua nampak indah. Maklumlah berduit banyak, dan masuk tahun ke 8 aku kerja. Aku menamatkan zaman bujang aku. Kira agak lewat juga la bagi seorang perempuan menamatkan zaman bujang. 

Tapi aku tak kisah semua tu, jodoh pertemuan semua kan di tangan Allah. Suami aku orang kampung, kerja sebagai juruteknik. Kerja biasa-biasa. Tidak lah se gah kerja aku. Tapi sungguh, aku tidak kisah semua tu.

Awal perkahwinan, alhamdulillah… walaupun isterinya ini bergaji 5 angka. Tapi tiap bulan, nafkah belanja bulan-bulan tetap masuk. Tidak pernah miss. Aku pun tidak pernah berkira berbelanja itu ini untuk kelengkapan rumah. Duit rumah dan minyak kereta. Semua aku tidak pernah berkira dan membantu perbelanjaan suami.

Balik kampung suami, aku dilayan sebaik mungkin oleh mertua. Alhamdulillah, tak cakap pun nak makan itu ini, semua makanan sedap-sedap tersedia. Selepas setahun mendirikan rumahtangga, alhamdulillah…kami dikurniakan cahaya mata, anak perempuan. Sakeenah namanya. 

Kami hantar Sakeenah ke rumah pengasuh. Masuk umur anak 6 bulan, Sakeenah mula menunjukkan tanda-tanda dia tak sihat. Paru-parunya terkena jangkitan kuman. 3 hari juga Sakeenah dimasukkan ke hospital. Sebulan lepas tu Sakeenah sekali lagi ‘diserang’. Kali ni lagi teruk ditambah gejala sesak nafas pada awalnya. Dia disahkan mengidap pneumonia pada usia 7 bulan. Allah… hati ibu mana la yang nak tengok anak dia sakit.

Tambah lagi waktu anak aku sakit ni, kami di opis sedang mengusahakan satu projek penting. Aku pula sampai terpaksa ambil cuti tanpa gaji untuk menjaga Sakeenah. Sebulan lepas tu, Sakeenah dimasukkan ke hospital lagi. Kes yang sama. 

Doktor bagitau Sakeenah mungkin sensitif terhadap persekitran, alah kepada orang yang batuk atau selsema. Iye la, baru aku teringat di rumah pengasuh tu, Iqbal yang berusia 2 tahun tu selalu selsema.

Make sense juga Sakeenah dijangkiti. 5 bulan berturut-turut Sakeenah dimasukkan ke hospital. Waktu ni, aku tak fikir panjang. Terus menyuarakan hasrat hati untuk berhenti kerja. Alhamdulilah suami mengizinkan. Mak ayah aku pun turut bagi sokongan.

Sekarang sudah hampir setahun aku jadi fulltime mommy. Suami bantu sedaya yang boleh dari segi perbelanjaan. Aku juga ada menjalankan perniagaan online tapi pendapatan tak sebanyak mana. 

Alhamdulillah duit saving masih ada dan kami pun tidak berhutang. Kira cukup untuk kami sekeluarga. Aku pun tidak kisah tidak semewah dulu asalkan aku dapat jaga sendiri Sakeenah yang aku sayang.

Bukanlah kisah Sakeenah yang aku mahu ‘highlightkan’. Cuma, bila tidak bekerja makan gaji ni. Hidup jadi tidak semewah dulu lah, layanan orang-orang pun dah lain terhadap aku. Balik kampung mertua, tiada lagi hidangan-hidangan istimewa. 

Kadang terpaksa sediakan sendiri apa yang nak dimakan. Mungkin dia malu agaknya menantu dia ni tak berkerja. Iye lah, menantu perempuan dia yang lain semua kerja. Semua ada jawatan. Semua dapat beri dia kemewahan.

Selalu mertua duk sebut-sebut kat aku, set pinggan ni.. menantu A dia yang belikan. Mesin basuh baru ni, menantu B dia belikan. Coway ni, menantu C dia belikan. Dulu, waktu aku kerja, takde pula dia nak sebut pemberian menantu-menantu perempuan dia yang lain tu kat aku. Tapi aku diamkan je. Senyum je. 

Aku faham, dia orang kampung. Tak belajar tinggi. Bukan nak merendah-rendahkan mertua. Tapi ada sesetengah orang, dia cuma fikirkan harta. Fikirkan duit. Orang beri, dia sayang. Orang tak beri dia tak layan.

Maaflah kalau aku ada sesiapa yang terasa. Tapi sungguh, awal-awal tu terasa hati juga dengan mertua. Tapi aku cuba pujuk diri, pujuk hati. Ada la tu Allah nak balas lain. Senyum. - www.kakishare.my


No comments

Note: only a member of this blog may post a comment.

Powered by Blogger.