Header Ads

'Realiti Kehidupan Tidak Seindah Dalam Drama TV Dan Novel'




Saya seorang isteri yang usianya agak muda dan perkahwinan saya baru mencecah 6 bulan. Ya, agak awal dan masih dalam tempoh mengenali hati masing-masing. Kebetulan, kami kenal dua bulan melalui sosial media dan bulan ketiga bertunang, bulan keempat bernikah. Sebelum nikah, suami saya beri sepenuh perhatian kepada saya memandangkan jarak tempat tinggal kami agak jauh. Saya di selatan dan dia di utara. 

'Realiti Tidak Seindah Dalam Novel'

Pekerjaan suami sebelum bernikah, hanya menorah getah dan kerja-kerja kampong. Saya bersetuju menerima dia atas sebab saya berharap dia dapat bimbing saya untuk jadi isteri yang solehah selepas berkahwin. Ternyata, berkahwin tanpa mengenal hati budi dengan lebih dalam agak mencabar bagi saya. Diawal perkahwinan kami, kami menyewa bilik sahaja. 

Selain itu, suami saya juga tidak bekerja awal perkahwinan kami. Sebulan selepas bernikah, baru dapat kerja yang kawan dia kenalkan. Alhamdulillah. Sepanjang perkahwinan, sebagai isteri, saya memang banyak berkorban dari segi duit memandangkan saya bekerja dan gaji saya lebih besar dari suami. Permulaan rumahtangga kami, suami agak segan nak guna duit saya tetapi lama kelamaan, saya nampak dia memanjakan diri sendiri dengan minta duit saya tanpa segan/malu. 

Sebulan kami hidup dirumah sewa, ayah kami berikan tempat tinggal yang lebih selesa dan agak besar. Kami duduk secara percuma dan kebanyakkan peralatan dalam rumah semua ayah saya dah sediakan. 

Sejak kehidupan agak senang sedikit, kami kerap bertekak. Kerap bergaduh. Saya makin nampak kekurangan suami setiap kali bergaduh. Biasa lah, kehidupan realiti tidak seindah cerita dalam novel. Suami saya juga tidak fasih membaca alquran, berbanding dengan saya, saya memang dididik membaca alquran.

'Nafkah Belum Pernah Dapat'

Suami minat bersukan dan kerap masuk pertandingan atau friendly yang memerlukan bayaran. Bila dia tak ada duit, duit saya lah yang diminta. Ada juga saya suarakan kepada suami untuk kurangkan join game yang memerlukan duit, sebab diakhirnya saya terpaksa menanggung semua benda dan masalah. Kalau kami kekurangan duit, saya yg fikir mana nak cari duit. Segala bil dirumah, bil astro, bil elektrik, maintenance kereta, repair kereta, barang dapur, semua gunakan duit saya. 

Tempat kerja saya agak jauh dari rumah. Saya selalu kena balik lewat malam untuk kejar target supaya dapat komisyen tinggi. Fikiran saya hanya untuk suami. Saya takut suami fikir dia hidup susah dengan saya, nanti dia pergi cari orang lain. Saya tak nak tetapi saya sedih bila suami tinggalkan segala tanggungjawab yang patut dia pikul dibahu saya. Sedangkan nafkah saya pun saya belum pernah dapat. 

Dari segi kerja rumah, suami saya hanya akan buat bila hujung minggu. Kalau saya minta tolong untuk menyapu, dia akan bagi macam-macam alasan. Kalau minta tolong basuh pinggan, dia akan cakap ‘nanti lah’, at the end saya yg basuh esok harinya. 

Saya tak pernah lupa untuk sediakan makanan walaupun balik kerja lewat malam. Kadang-kadang, suami pergi kerja saya siap bekalkan makan tengahari. Makan minum dia saya tak pernah tinggal untuk sediakan walaupun kami tidak bertegur (selepas bertekak).

'Ibu Pesan Isteri Kena Banyak Bersabar'

Kerja saya agak berat, kena prepared proposal, pricing untuk tender. Semuanya perlukan otak/mental untuk diselesaikan. Bila balik rumah, saya kena tengok rumah bersepah yang disepahkan oleh suami, rushing untuk memasak lagi. Cuba bayangkan situasi saya. Saya stress ditempat kerja, balik rumah tengok keadaan rumah macam tongkang pecah. 

Sedih tak terkata. Saya pernah cuba tegur suami dari semua aspek. Dari segi tanggungjawab dia, dari segi kebersihan, dari segi didikan dia kepada saya, tapi tak ada satu pun masuk kepala dia. Dia anggap saya sebagai isteri tidak layak untuk tegur kesalahan dia. 

Saya banyak menolong dari segi kewangan, tak boleh ke dia tolong saya dari segi buat kerja rumah ? kadang kala, ada terdetik dekat hati saya untuk berpisah, memandangkan suami saya keras kepala dan tidak boleh ditegur. Setiap kali ditegur, dia melenting. 

Saya sebagai orang muda, dan masih baru dialam perkahwinan, saya perlukan nasihat org yg lebih matang dalam isu macam ni. Tetapi, ibu saya berpesan , sebagai isteri kena banyak bersabar. 

'Masih Muda Untuk Bergelar Janda'

Sebenarnya, sebelum jumpa suami saya, saya memang tidak ada plan untuk berkahwin awal dan tidak terfikir untuk berkahwin memandangkan kebanyakkan orang sekeliling saya selalu menghadapi masalah rumahtangga. Isu seperti saya alami ni jugak lah buat saya fobia untuk berumahtangga, dan akhirnya sekarang saya sedang menghadapi isu yang hampir sama.

Kadang-kadang saya tertanya suami saya ni tak bersyukur ke dapat isteri yang bekerjaya, ada duit sendiri, ada kereta sendiri, jenis berdikari, bertukang boleh, semua benda boleh dan ayah mertua pulak siapkan rumah sebijik untuk didiami. Macam mana lagi cara saya nak suami faham semua yang saya maksudkan kalau dengan cara tegur baik pun dia boleh melenting ? 

Saya tak inginkan penceraian, dan saya masih muda untuk digelar janda. Setiap wanita, mestilah impikan perkahwinan yang indah dan bahagia sampai hujung nyawa.

- www.kakishare.my


No comments

Note: only a member of this blog may post a comment.

Powered by Blogger.