Header Ads

Muka pakcik nampak garang dan jarang berbual waktu tengah menjual sampailah awal ramadhan lalu...



Gambar ini adalah anatara gambar Pakcik gerai 'Ayam Ganja' yang laris di kawasan Wangsa Maju. Saya sempat pergi ke gerai pakcik untuk bulan puasa hampir 5-6 tahun setiap kali puasa. Gerai dia pulak sentiasa penuh dengan orang sebab memang di akui sedap. 

Pakcik menjual lauk-pauk dan yang paling laris adalah ayam goreng 'ganja'. Ayam goreng yang dipenuhi serdak-serdak yang enak dibuat dari bawang goreng, daun kari dan rempah rahsia pakcik. 

Muka pakcik nampak garang dan jarang berbual waktu tengah menjual. Begitulah banyak rungutan dari orang ramai. Itulah yang orang lain nampak selalu. Yang orang tak nampak pula adalah, pakcik sebenarnya menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis yang sangat tinggi. 

Isteri saya sendiri pernah terserempak dengannya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebulan sebelum bulan ramadhan tahun lalu. Dia nampak sakit dan letih sangat mungkin sebab dia menahan sakit tu. Bila isteri saya pergi menegurnya, dia kata dia sangat sakit dan sampai doktor kena masukkan tiub ke dalam badannya untuk dialisis setiap kali datang. Dia kata, mungkin dia tidak akan bertahan lama dah badannya tak kuat. 

Tiba pada hari ramadhan pertama, saya seperti biasa pergi ke gerainya sebagai rutin ramadhan. Tetapi gerainya tutup pula. Masuk pula pada hari ketiga bulan ramadhan, barulah gerai pakcik dibuka namun pakcik pula tiada di situ macam rindu pula melihat wajahnya. Yang ada hanyalah anaknya. 

"Dik, mana pakcik?" saya dengan tenang menegur anaknya. 

Sejak saya mula membeli dari gerai pakcik setiap kali bulan ramadhan, tiada satu hari pun pakcik tiada di gerainya. Sakit atau demam pun dia mesti datang berniaga dengan tabah. 

"Ayah dah meninggal bang..." 

Saya tergamam terpacak kaku. 

"Inna Lillahi wa inna ilayhi raji'un..." ucap saya sedih dalam hati. 

"Bila dik?" 

"Hari pertama puasa bang. Ayah pesan bila dia selamat dikebumikan, buka gerai dan kembali tolong mak," ujar adik itu dengan nada perlahan dengan matanya yang jelas masih merah dan bergenang. Jelas dia mahu menangis. 

Dia terpaksa bekerja dua hari selepas sahaja mengebumikan ayahnya dan mengambil alih tugas ayahnya. Jadi itulah sahaja kisah sayu keluarga pakcik ini. Susah senang mereka, siapa yang tahu kan? orang mampu berkata tapi mereka yang menghadapi. Ingat tidak salah membeli di gerai-gerai sempena ramadhan biar mata, mulut dan hati turut berpuasa. 

Al-Fatihah pakcik...


No comments

Note: only a member of this blog may post a comment.

Powered by Blogger.