Gagal Bayar Sewa Bilik Sewa, Ibu Tua Dan Anaknya Terpaksa Jadi Gelandangan Dan Menumpang Di Restoran Makanan Segera Hampir Setahun
Jika kita fikir kehidupan yang kita lalui sekarang ini amat susah dan perit, mungkin kita patut meluahkan rasa bersyukur kerana masih mempunyai tempat tinggal dan rumah yang selesa untuk di duduki.
Namun ianya amat berbeza bagi seorang ibu tua dan anaknya yang agak lembam. Diusir keluar kerana gagal membayar sewa bilik akibat kehilangan pekerjaan sejak lebih setahun lalu, seorang ibu tua menjadi gelandangan dan terpaksa membawa anaknya menumpang di sebuah restoran makanan segera terkemuka di Petaling Jaya sebagai tempat teduhan buat sementara waktu.
Memetik laporan Malaysiakini, pengarah projek Kechara Soup Society, Justin Cheah bertindak menghulurkan bantuan yang sewajarnya buat kedua-dua ibu dan anak selepas dimaklumkan oleh seorang sukarelawan pada awal pagi Ahad menerusi panggilan telefon.
Hasil perbualan dengan si ibu yang dikenali sebagai Mah, Cheah diberitahu ibu tersebut bahawa sejak kehilangan suami beberapa lama dulu, dirinya terpaksa berusaha sendiri untuk membesarkan anaknya yang baru berusia 23 tahun.
"Mereka cuba mencari kerja tetapi tidak berjaya kerana penampilan dan berbaju kotor serta tidak terurus," katanya. Menurut Cheah, anaknya kelihatan "lembam" dan tidak mempunyai keyakinan diri.
Seorang pekerja restoran itu yang hanya mahu dikenali sebagai Punitha, berkata pengurus cawangan berkenaan membenarkan mereka yang tidak mempunyai tempat berteduh untuk tidur di dalam resoran itu.
Kemudian, Cheah menyewa bilik hotel di kawasan Imbi, Kuala Lumpur untuk kedua ibu dan anak bermalam termasuk menyediakan pakaian dan memberi wang tunai agar mereka boleh membeli makanan untuk mengisi perut mereka.
Kisah pilu ibu dan anak tersebut dicatatkan di Facebook peribadi Cheah sambil memuat naik beberapa keping gambar mereka.
Dalam pada itu, dalam catatannya di Facebook, Cheah turut menyeru orang ramai yang boleh menawarkan pekerjaan yang sewajarnya supaya mereka berupaya untuk mendapatkan tempat penginapan yang merupakan keperluan paling asas buat mereka berdua. - www.kakishare.my
Post a Comment