'Nanti Mak Kata Saya Bodoh' - Rintihan Budak Darjah 1 Yang Meruntun Hati Gurunya
Home Hangat Santai Kipas usang dalam bilik darjah ini masih utuh berputar meskipun pelbagai bunyi dikeluarkannya. Tidak laju, namun angin yang dihasilkan cukup untuk membuat mata anak-anak semakin layu. Apatah lagi apabila waktu sudah menginjak ke jam 6 petang.
Kesemuanya seolah-olah sudah tidak bermaya. Termasuklah saya, seorang guru mendekat usia 40 tahun yang masih melompat dan bermain dengan anak-anak tahun satu ini.
Dalam layu mata menahan mengantuk yang amat sangat, tiba-tiba saya mendapat panggilan telefon dari salah seorang rakan guru yang turut mengajar di tahun 1. Meminta saya untuk segera hadir ke kelasnya.
Beliau sudah menunggu di luar kelas saat saya menghampiri kelasnya. Bercekak pinggang sambil tersenyum. Saya sebenarnya mengkagumi guru wanita ini. Usianya sudah mendekat 50, namun masih gigih bertenaga mengajar anak-anak di tahun 1 ini.
“Akak rasa si Azril tu dah terberak kat dalam seluar,”bisiknya perlahan apabila saya betul-betul berada dekat dengannya.
Begitu berhati-hati dia agar suaranya tidak didengar oleh anak murid-anak murid yang lain. Sangat prihatin dia menjaga aib anak muridnya.
“ Cubalah madi tengokkan”, sambungnya lagi.
Ini seolah-olah sudah menjadi sebahagian tugas ‘rasmi’ku. Menyelesaikan kes-kes murid lelaki yang terkencing atau terberak di dalam seluar.
Perlahan saya mengetuk pintu kelas, memberi salam kepada murid – murid yang sedang tekun membuat latihan.
“Azril, mari ikut cikgu sekejap”, laungku sambil tersenyum ke arahnya. Murid- murid lain sekadar mengangkat kepala memerhatikan Azril dengan perlahan bangun dan berjalan menuju ke arahku. Barangkali tertanya-tanya apa yang sedang berlaku.
Saya membawanya masuk ke tandas lelaki. Mengunci tandas daripada dalam agar tidak ada orang lain yang memasukinya.
“Azril berak dalam seluar ke?” soal saya.
Dia mengangguk lemah. Raut wajahnya menjadi suram kelat. Barangkali menggambarkan betapa secara dalaman beliau sebenarnya amat tersiksa dengan apa yang berlaku.
“ Tali pinggang tak boleh bukak”, sambungnya secara tiba-tiba.
Aku melemparkan senyuman. Tidak mahu aku menekannya lagi dengan wajah ketat atau marah kepadanya. Bagi saya anak-anak dalam keadaan ini sudah tentu menjadi serba salah. Macam- macam barangkali ada dalam benaknya.
Barangkali bimbang di marahi oleh guru kerana tidak ke bilik air untuk membuang air besar. Pasti juga malu kepada rakan sebaya yang lain yang mungkin selepas ini akan mengejeknya kerana berak di dalam seluar. Ya, sudah pasti macam -macam lagi rasa yang bercampur baur. Tidak mahu saya menekannya lagi dengan wajah ketat dan masam mencuka.
“Takpe. Mari kita bersihkan dulu. Nanti lepas ini cikgu akan telefon mak atau ayah kamu untuk ambil kamu dalam sekolah,”pujukku.
Serta merta wajahnya berubah. Matanya mula berkaca-kaca. Dadanya mula berombak-ombak. Kembang kempis hidungnya menahan tangis yang ingin keluar.
Dalam teresak-esak itu dia berkata,
“Nanti mak kata saya bodoh lagi, taknak. “
Terpinga-pinga saya mendengar kata-katanya. Saya merendahkan badan mengadapnya.
“Azril, takkan mak nak cakap Azril macam tu, “bangkang saya meragui kata-katanya.
“ Mak cakap kat kawan-kawan dia saya tak pandai. Pergi sekolah tak tahu belajar apa. Tak pandai”, sambungnya dengan esak tangis yang semakin kuat.
“Azril, mak tak cakap Azril bodohkan?”, soal saya inginkan kepastian. Bukan apa kadang-kadang anak-anak memang bijak membuat kesimpulan. Malangnya kesimpulan yang dibuat selalunya menggunakan perbendaharaan kata yang sering mereka dengar dan guna.
“ Tapi mak cakap abang tak pandai. Kat kawan-kawan dia”, sambungnya membahasakan dirinya abang.
“Tak pandai bukan semestinya bodoh. Azril kan baru darjah 1. Belum pandai lagi. Nanti lama-lama kalau Azril belajar betul-betul Azril pandailah,“ jawab saya menenangkannya.
Saya faham kadang-kadang anak-anak ini dengan akal gopoh mereka akan cepat membuat kesimpulan dari apa yang mereka dengan dan lihat. Apatah lagi sekiranya perkara tersebut dilakukan oleh ayah dan ibu mereka.
Saya percaya kadang-kadang ada ibu atau bapa yang bersembang sesama rakan dan secara tak sengaja berseloroh menggunakan perkataan –perkataan yang tanpa mereka sedar memberikan makna yang berbeza kepada anak-anak.
“Entahlah anak aku ni, tak tau dia ke sekolah belajar apa. Tak pandai-pandai”.
“Kau tengoklah anak aku ni, asyik main je. Tu yang tak pandai-pandai tu.
Bahkan ada sesetengah ibu bapa juga yang tanpa rasa bersalah menjatuhkan air muka anak-anak di depan rakan- rakan mereka dengan menggunakan ayat-ayat yang tidak sepatutnya.
'GAJI TAK SEBERAPA, ADA HATI NAK LAYAN BETINA LAIN!'
Post a Comment