Rakyat Malaysia Nahas Konvoi Di Thailand, Perlu Bantuan Bawa Pulang
Petang kelmarin berlakunya satu kemalangan di kilometer (km) 4046 Sikao, barat laut wilayah Trang, Thailand yang membabitkan seorang rakyat Malaysia cedera parah dan seorang lagi cedera ringan.
Dalam kejadian pada 5.21 petang waktu tempatan itu, kedua-dua mangsa bersama tujuh ahli Kelab LC 135 Gombak dalam perjalanan pulang ke Malaysia melalui sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah selepas melakukan konvoi selama empat hari ke Phuket, Thailand.
Menurut salah seorang ahli konvoi tersebut, Norman Adam, kemalangan berlaku ketika mangsa, Muhammad Suffian Sazali, 31, dan Zulfikar Idris, 26, sedang menunda salah sebuah motorsikal ahli konvoi itu yang mengalami kerosakan, kira-kira 146km menghampiri sempadan Bukit Kayu Hitam.
Malangnya semasa melalui kawasan selekoh, motorsikal yang ditunggang Muhammad Suffian dan Zulfikar secara tiba-tiba bergeser sesama mereka kerana keadaan jalan yang berpasir mengakibatkan kenderaan mereka hilang kawalan.
Kemudian motosikal Zulfikar berputar dan melanggar batu jambatan, sementara itu Muhammad Sulfian berpusing bersama motosikalnya sebelum dia terjatuh dan orangnya menghentak besi penghadang jalan raya.
Kini Muhammad Suffian dirawat di Hospital Trang dan memerlukan kira-kira 35,000 baht (RM4,386.40) bagi menampung kos rawatan pesakit luar, tidak termasuk kos ambulans bagi membawa pulang mangsa.
Anggaran kos tersebut adalah meliputi kos hospital, X-Ray, imbasan Tomografi berkomputer (CT) serta Pengimejan Magnetik Resonans (MRI).
Laporan mengenai kemalangan itu dibuat di balai polis berdekatan dan pihak berkuasa Thailand telah mendapatkan keterangan lanjut berhubung insiden tersebut.
Sehubungan itu, Kelab LC Gombak melancarkan kutipan derma kilat memohon sumbangan orang ramai bagi membantu menampung kos perubatan dan pengangkutan membawa pulang mangsa ke tanah air.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Ahmad Izzuddin Rosman bernombor 16220013518 (Maybank) atau boleh menghubungi beliau di talian 013-474 9823 untuk maklumat lanjut.
Post a Comment