Jangan Lupa Ayah Yang Buat Ibu Kamu Mengandung
Kaki Share - Malam tadi adalah malam kedua anak saya berkursus di hotel, anjuran sekolahnya. Program selama 3 hari 2 malam itu bermula dari hari Isnin.
Sekitar jam 10:15 malam tadi, usai program dia menelefon saya dan menghantar khabarnya di sana. Sama juga dengan malam sebelumnya.
"Assalamualaikum ayah, ayah sihat?" soalnya.
Saya menyatakan saya sihat dan bertanya khabar dia pula. Alhamdulillah dia sihat dan bergembira mengikuti program tersebut.
"Ayah, bagi telefon pada ibu," itulah perkataan kedua dari mulutnya untuk dua hari berturut-turut. Saya serahkan telefon kepada isteri dan mereka berbual sekitar 15-20 minit, jauh dari pandangan dan pendengaran saya. Begitulah keadaan selama 2 hari berturut-turut.
Pada malam pertama, saya rasa tak sedap hati. Tetapi malam tadi selepas perbualan mereka berdua, saya rasa sedih dan sayu. Anak lelaki saya ini hanya berusia 7 tahun tetapi dia sudah menunjukkan kecenderungan untuk melebihkan ibunya berbanding saya.
Ya, saya pelajar psikologi. Saya tahu apa itu konsep 'pen*s envy' iaitu kecenderungan anak perempuan rapat dengan si ayah dan anak lelaki pula rapat dengan si ibu. Saya faham biarpun saya setakat lulus cukup-cukup makan subjek tersebut.
Lebih sediah apabila saya diberitahu bahawa anak saya itu tercedera semasa program dan dia meminta ibunya tidak melaporkan perkara itu kepada saya.
"Luka kecil saja," kata isteri dan meminta saya tidak risau.
Saya adalah seorang ayah, biarpun saya seperti tidak mempedulikan anak-anak sebagaimana si ibu, seluruh hati dan usaha saya selama ini adalah untuk keluarga dan membesarkan anak-anak. Saya tidak mampu melelapkan mata sehingga jam 3.30 pagi mengenangkan kejadian yang menimpa anak saya itu.
Saya teringat, mungkin inilah juga perasaan ayah saya sewaktu dia masih hidup dahulu apabila saya sering melebihkan ibu saya sewaktu berbual di telefon bertanya khabar. Kali ini sebagai bapa, saya merasa terpinggir dan sedih akibat perbuatan yang sama. Saya mengakuit kata-kata Scorpions iaitu "what you give, you get back".
Kepada anak-anak lelaki ayah, ayah ingin berpesan bahawa, tidak salah menyayangi ibu kamu tetapi janganlah buat ayah kamu ini rasa terpinggir dan berjauh hati.
Untuk Luqman Hakim bin Izman dan Arif Fahmi bin Izman, inilah curahan hati ayah terhadap kamu berdua.
Anak-anak lelaki kesayangan ayah,
Ya, Ayah yakin kamu tahu bahawa ibu kamulah yang mengandungkan kamu dahulu. Namun jangan lupa bahawa ayahlah yang menyebabkan ibu kamu mengandungkan kamu.
Ya, ibu kamu yang bersabung nyawa kesakitan semasa meneran untuk mengeluarkan kami dari rahimnya. Tetapi kamu harus tahu bahawa ayah juga menanggung separuh kesakitan itu bersamanya di bilik bersalin dan menyambut kelahiran kamu. Mungkin kamu patut tahu ayah lebih sakit kerana tangan dan bahu ayah terus dicekik dan digigit ibu kamu semasa kontraksi melahirkan kamu. Sakitnya, Tuhan sahaja yang tahu. Namun ayah tahankan juga bagi melegakan ibu.
Ya, ibu kamu yang bersengkang mata di malam hari menjaga dan menyusukan kamu. Tetapi ayah juga tidak tidur menemaninya berjaga. Sedangkan ayah juga terpaksa terus berjaga di siangnya untuk mencari nafkah untuk keluarga kita.
Ya, ibu kamu terlalu penyayang berbanding ayah yang terlalu garang dan seringkali menghukum kamu. Tiada ayah yang sanggup menghukum anak kecuali untuk menjadikan anaknya manusia yang berguna. Kamu tidak tahu setelah kamu tidur, ayahlah yang akan berada di sisi kamu mengusap bekas hukuman tersebut dan mencium ubun-ubun kamu.
Ya, mengikut ustazah kami, ibu perlu ditaati tiga kali darjatnya berbanding ayah. Ayah juga tahu tetapi tak mungkin kamu lupakan bajhawa ustazah kamu juga ada menyifatkan bahawa darjah ketaatan seseorang isteri kepada suami adalah dalam kedudukan ketiga selepas Allah dan Rasulnya.
Ya, kami selesa dan senang mendapat sesuatu setelah meminta daripada ibu kami berbanding ayah. Tetapi kamu harus ingat bahaw akami tidak akan mendapatkannya sekiranya ayah tidak bersetuju. ibu kamu akan sentiasa taat kepada segala kata-kata ayahbiarpun ibu seringkali tidak bersetuju.
Ya, kamu sering nampak kasih sayang yang terzahir dari perkataan dan perbuatan ibu terhadap kamu. Tetapi jangan kamu nafikan bahawa kasih sayang ayah juga tidak terkurang sedikit pun untuk kamu, barpun ia tidak sentiasa ditunjuk. Kamu ingatlah bahawa kasih sayang ayah terhadap anak-anak sentiasa melekat di hati dan akan dibawa hingga ke mati.
Ya, biarpun kamu tidak pernah melupakan ibu kamu di setiap hela nafas kamu, ayah pohon, ingatlah ayah juga kerana tiada lain yang ayah harapkan dalam hidup ini selain melihat kamu berjaya dan menjaga keluarga kita sekiranya ayah sudah tua atau sudah tiada di dunia fana ini. Yang benar, ayahmu.
Post a Comment